Pages

Sunday, November 24, 2013

Speech Therapy 2

Hari ni punya appointment speech therapy di HSB sepatutnya pada pukul 11 pagi. Tapi mak ni saja test nasib dengan pergi lebih awal. Pukul 9 lebih dah sampai di kaunter. Hari ni juga nasib agak baik dengan mendapat tempat parking yang sewajarnya. Selalunya mak parking kereta dekat atas divider tu sebab sentiasa penuh sesak. Hari ni divider pun penuh semuanya. Syukur teramat bila sorang tu suruh mak follow dia dan keluarga yang dah nak keluar dari situ.. :D

Di kaunter, mula2 staf tu soal juga kenapa datang awal. Saya pun kata takpelah saya tunggu. Maksudnya, kalau dah appointment pukul 11, biarlah dalam group yang sama appointment tu kami the first. Letih kalau tunggu lama-lama melepasi waktu. Tapi rupanya dapat giliran awal juga... hehehe! Mujur awal, sesi Fawwaz belum habis, pegawai tu dah dipanggil doktor.

Fawwaz hari ni sangat bagus. Walau banyak yang dia tak respon seperti sepatutnya, mak ni tetap gembira dengan kelancaran sesi tadi. Yang nak kena brush up kali ni ialah skill 'cause & effect' dia. Sepatah2 dia jawab bila ditanya. Contohnya, ada 2 flash card yang menunjukkan satu perbuatan seperti bermain bola di dalam bilik. Effectnya pada kad kedua yang menunjukkan akibat bermain bola di dalam bilik, pasu bunga mak jatuh... :)

Dalam tu, mak sekali buat pemerhatian tentang tingkahlaku Fawwaz sewaktu terapi. Tahap fokusnya agak baik tadi. Boleh selesaikan 3 subjek (agaknya lah term ni... tak tau nak guna perkataan apa). Dia juga teruja nak belajar. Sesuai dengan teknik pembelajaran secara 1 to 1. Sangat berbeza dengan di rumah. Jadinya, environment sangat penting. Begitu juga tenaga pengajarnya. Saya fikir, kerjasama yg serupa juga diberi semasa OT. Jadi, duk tengah fikir ni.. samada sesuai atau tidak kalau nak hantar dia ke personal tusyen instead of masuk NASOM atau Akademi tu. Yang mak ni tak sempat2 lagi nak buat atau daftar.

Sebenarnya, sedih pun ada menerpa... Sebab, rasanya mak ni kembali ke situasi lama.. Kena lakukan sorang2... fikir sorang2... decide sorang2. Seperjalanan tapi tidak sekapal... Tiba2 rindu pada keluargaku di kampung sana...


Saturday, November 23, 2013

Mencari Lampu Pula..

Misi mencari langsir masih belum berjaya dan terlaksana. Destinasi idaman akak iaitu Jakel masih tak terlawat lagi..

Hari ni mengikut abe mencari lampu. Esok electrician nak datang pasang. Lampu belum beli... kikiki. Downlight untuk lounge, lampu gantung di dapur dan dry area dah letak... tapi ni la, lebih 20 point lagi nak letak dan lampu belum ada. Ni banglo kecik comel... Kalau hat besaq2 macam kejiranan kami tu berapa banyak daa... Maklumlah, ini pengalaman pertama akak. Jadi jakun sikit. Selalunya masuk rumah je, dah lengkap semua.. Kesian kannn...

Tadi kami pergi ke 2 buah kedai di Alor Setar dan Jitra. Akak ditugaskan mencari lampu untuk bilik dan dining area je. Tapi banyak sangat kat kedai pertama tadi.. akak pulak angin cerewet. Bila jumpa yang akak dah berkenan, abe tu macam tak kenan la pulak. Sudahnya, akak mengekor dia je lah.. Dapatlah hasil memancing beberapa lampu kat situ.

Lepas makan dan solat, sambung pulak kat Jitra. Akak yang beria-iya ajak ke sana. Kat Alor Setar tadi tak jumpa lagi lampu dining tu. Kat Jitra, mata dah jadi rambang. Bukan pasal banyak, tapi pasal tak tau pilih. Sudahnya akak ambil juga sejenis tu... dan dapat juga beberapa lampu yang lain. Masih tak cukup lagi. Tapi dah ngantuk sangat.. Balik dululah. Lepas Asar abe keluar dan sambung balik misi. Sampai la ni belum balik lagi... kihkihkih. Kesian dia.... Akak dah pesan, beli jelah ikut suka dia. Akak ikut je... Senang dapat bini macam ni. Dalam cerewet ada senang... wink wink!

Sebenarnya kalau ikut dalam hati ni, adalah citarasa sendiri tu.. Tapi bila pergi dan memilih dengan abe, akak secara automatiknya akan mengalah. Dan akak tak kisah pun...

****************************
Akak suka lampu yg jenis macam ni... modern look


suka design lampu philips yg simple


Kesudahannya, kita tengok nanti bila dah pasang semua... Tadi abe balik, nampak gaya baru dapat separuh je barang2 tu.. huhuhu!

Memang besar kos membuat dan menyiapkan rumah ni....


Thursday, November 21, 2013

Mencari Langsir..

Hari masih sejuk di sepanjang hari.. Namun Alhamdulillah, 2 pasang kain ihram abe yang saya jemur sejak semalam kering juga akhirnya. Hari ni punya basuhan pulak, sambung jemur di bilik atas. Namanya jemuran sementara atau jemuran musim hujan... hihihi.

Akak ni dah tak berkesahkan kecantikan rumah dah. Rasa nak sepahkan semua barang, biar cepat-cepat masuk kotak pulak. Abe dah firmed nak pindah bulan Disember nanti, sebelum masuk tahun baru. Tadi katanya dah ukur grill. Sabtu ni nak mencari lampu untuk keseluruhan rumah dan nak siap pasang Ahad nanti.

Hari ni akak curi2 masa selepas membawa Fawwaz ke klinik sebab batuk, melawat kedai langsir di pekan Jitra tu. Plan asal nak ke Jakel, dah siap on kan Waze lagi.. Takut tak jumpa macam semalam. Memang kalau Waze tu hidup, mesti akak kena marah. Selalu sangat mainkan dia... lalala! Tapi bila dah U turn ke kedai langsir tu, seperti dijangka takde yang berkenan.

Ciri-ciri langsir yang dicari... dan payah benor nak jumpa  :P
Gambar ihsan Google..




Untuk disesuaikan dengan dinding ni...

Ada 4 tingkap je yang nak dilangsirkan.. Yang lain-lain nak guna blind. Shhh... blinds akan ikut citarasa bos besar.. Tak taule camna nanti. Akak ni jenis mudah je.. mengikut tak banyak cerita. Sesekali je bersuara kalau rasa perlu. Ada masa memang cerewet macam nak cari langsir yang 4 ni. Setakat ni dah masuk 3 kedai dan belum jumpa. Cuma yang kat Eliza's hari tu ada juga yg sipi2. Tapi harganya pun tau laa.. Satu tingkap anggaran RM500. Darab 4 = RM2,000. Hahaha... alih2 rasa kedekut 4 kali ganda juga neh...

Mampukah esok akak menongkah arus lagi sekali bersama Fawwaz demi 4 keping langsir? Tungguuu... Kesian juga nak angkut dia dalam musim tak menentu ni.. Sebab teruk juga batuknya.


Wednesday, November 20, 2013

Hujan di Jitra...

Tasik Taman Tunku Sarina

Pagi2 lagi tadi abe dah turun dan meracun rumput yang semak kat luar rumah ni... Semalam petang dah buat di rumah baru. Habis je abe meracun tadi, tengok langit semakin mendung. Dia naik mandi, hujan rintik mula turun... Sampai la sekarang pukul 2 ptg, tak berhenti tapi tak lebat. Hehe... cobaan semua ni. 2-3 hari sebelum ni pagi sentiasa panas. Baru hari ni je hujan... Makanya, tak pastilah rumput yang diracun tu akan mati ke tidak nanti.. Tapi abe ku itu bukan jenis mengeluh...

Samalah macak akak... Sejak cuti sekolah memang susah nak keluar sebab Fawwaz tak mau. Perangainya sejak dulu lagi ni. Lebih sanggup tinggal sorang di rumah.. Jadi, mak pun kenalah ikut duduk di rumah. Padahal dalam pemikiran banyak juga benda nak buat.

Hari ni mood dia elok pulak. Ajak je terus mau. Mak apa lagi, walau hujan angkutlah dia keluar. Mula-mula cari lokasi sekolah.. jumpa. Lepas tu nak cari Akademi Autisme... tak jumpa. Nak pergi Jakel survey langsir... pun tak jumpa. Hari ni bukan Jitra saja yang hujan, Alor Star pun sama. Air sungai pun dah tinggi. Fawwaz kata ocean... hahaha.

Pusing-pusing mencari tak jumpa, akak pun decide balik je lah. Lagi pulak Fawwaz asyik batuk-batuk. Memang teruk juga batuknya. Malam tadi pun tak lena sangat tidurnya sebab batuk. Bila dah tutup kipas, baru boleh tidur sikit. Mujur tak panas. Hari-hari pun kipas tahap 1 je. Aircond tu tak ingat bila last guna. Jiimaatt letrik... ;)

Cakap pasal jimat ni, tiba2 teringat kisah semalam. Di rumah baru.. Pagi tu kami breakfast di situ, tak buat apa2 pun. Abe je lama sikit, berkebun. Petang semalam kami pergi lagi. Abe meracun, akak lak mop lantai dan lap dinding dapur. Sebelum tu, sampai2 je lokasi ternampak bangku plastik di dalam rumah ada kat bawah tingkap (di luar). Hairan juga. Abe terus contact kontraktor kot2 dia datang selepas abe balik pagi tu. Kontraktor kata tak.. Fine, takde apa2 lah kot.. Tak lama akak teringat satu tangga lipat kat dalam toilet. Terus bagi tau abe. Betullah tuu... abe tengok dah takde tangga tu. Maka sah lah... ada orang ceroboh rumah tu.

Modus operandi... panjat tembok pagar (sbb ada satu bahagian pagar tu agak kotor). Lepas tu, panjat pula tingkap dan cungkil/buka tingkap menggunakan pelepa simen. Sebab dinding bawah tingkap tu agak kotor. Abe kata, mungkin sebelum tu dia ambil meja plastik di luar untuk panjat tingkap sebab tingkap rumah tu tinggi kalau dari luar. Separas dengan kepala. Dah berjaya masuk, dia aimed benda2 yang mudah dah berharga atau senang dijual. Contohnya tangga tu.. Sebelum ni pernah dicuri ialah tangga kepunyaan kontraktor dan lebihan besi pagar termasuk batangnya yang berharga RM200 sebatang. Abe syak, pencuri yang sama... pencuri besi dan yang sewaktu. Mencuri di tengahari.

Inilah negaraku yang aman... Kat mana-mana je, tahap keselamatan macamana pun, kalau dia nak masuk, akan diusahakannya. Innalillahi wainna ilaihi raajiun. Sebenarnya empunya tangga belum diketahui. Kontraktor kata buka dia punya. Mungkin kontraktor kabinet punya... masih belum dipastikan.


Monday, November 18, 2013

Dapurku.. Ofisku...

Berbunga-bunga hati akak hari ni... Ada taman gitu...

Pertamanya, en abe akak dah selamat kembali dari menunaikan Haji.. Rasa nak sob sob bila tengok kegembiraan Fawwaz tadi... Masa abinya peluk dia ketat2, keluar dari mulutnya "Fawwaz happy..". Memanglah dia happy sangat sampai tak boleh control... duk riuh pot pet2 je sepanjang tengahari. Abi pulak dah tak tahan mengantuk sebab landing kat KLIA lebih pukul 10 malam... lepastu kena tidur kat bangku airport je (bajet nak lepak lounge MAS, rupanya utk domestic tutup).. pukul 8 lebih baru sampai airport sini. Maka, dibiarkan Fawwaz potpet2 kat sebelah tu dan dia tidur tak sedar diri... Jadi, tadi akak pi kenduri rumah sebelah pun sensorang je.. lembut2 cakap kat tuan rumah "baru je sampai, dia tidur.. ". Dah lepas Asar, baru abe pegi ke rumah tu.. mujur la kann.. kikiki!

Kedua, bila pergi ke rumah comel kami, tengok kabinet dah 90% siap. Tinggal nak touch up wardrobe dan kabinet lounge tu. Hat office akak (dapur lerrr..) dah siap sepenuhnya. Kabinet hijo akak.. yayyy!!! Simple je, tapi cukuplah untuk akak. Cabarannya nanti nak buat ianya sentiasa kemas dan cantik. Sebab akak ni selalunya clumsy lagi tak reti nak simpan barang... huhuhu! Tapi, suka tengok benda kemas. Alasan selalu bagi kat abe, orang rajin masak memang dapurnya susah nak kemas... :P

 Lime Green... suka color ni. Semoga oven tu mampu menggembirakan hatiku..

Sunday, November 17, 2013

Dah Selesai...

Lega rasa... dah selesai sesi ujian kelas khas Fawwaz... Tinggal nak tunggu surat panggilan ke sekolah mana je. Tapi tadi pegawai pelajaran tu dah suruh mak pilih. Mujur ada cikgu yang buat ujian tu mencadangkan SK Bukit Tinggi di Kepala Batas yang selalu jadi pilihan orang kawasan ni.  Sebagai orang baru, mak ni bukan tau sangat nama sekolah. Sebelum ni yang mak tau 2 sekolah je dan agak jauh dengan rumah dalam 6 ke 8 km ikut jalan short cut. Sebenarnya bukan jauh sangat pun kalau 8km tu.. Cuma kot2 nak masuk program lain, yang ada cuma di Alor Star. Jauhlah sikit dari 2 sekolah tu... Kalau dari Kepala Batas memang mudah sikit rasanya. Lagi satu mengambil kira musim hujan yang boleh menyebabkan jalan dekat ke pekan Jitra tu banjir.

Ujian tadi asalnya menguji mak ni juga. Mula-mula Fawwaz tak nak masuk ke tempat tu. Alhamdulillah, berkat doa Allahumma Yassir umi dia ni, Allah permudahkan.. Ujian bermula dengan Pengurusan Diri. Tak silap markah dalam 80%. Lepas tu ujian apa ya... (tak ingat). Markah rendah sikit 60%. Mula2 tu Fawwaz tak faham arahan dan mula nak buat hal. Agaknya sebab ramai cikgu kat situ dan mak ni pun cakaplah yang Fawwaz cakap English je.. hehehe! Mak pun terpaksa masuk campur jadi cikgu dan jurubahasa. Barulah Fawwaz faham dan buat semuanya.

Ujian ketiga pula ialah Bahasa Melayu. Lagilah dia tak mahir dan tak mau buat.. Jadi kena tukar ke Bahasa Inggeris. Suruh pegang pensil pun tak mau. Kemudian mak keluarkan pensil ajaib dari dalam handbag (mujur bawa pensil yg ada grip tu).. Semua betul. Bagus anak umi.

Ujian2 yang selepas tu termasuk matematik, semua lepas. Ada sorang cikgu tu yg kendalikan ujian matematik, mak rasa sangat bagus kalau jadi cikgu Fawwaz. Dengan suara yang terang dan Englishnya baik. Mak bagi cikgu tu full mark jugalah... hehe! Tapi sebenarnya uminya ni banyak juga menyebuk tolong Fawwaz.. tu yg dia yakin menjawab. Teringat kata therapist tu, masih lemah level of confidence Fawwaz.

Sampailah ke stage yang terakhir, meja pegawai pelajaran. Puan tu tengok Fawwaz dah tau yg Fawwaz autistic. Terus dia tanya pilihan sekolah... InsyaAllah, luluslah tu. Harapnya Fawwaz menemui sinarnya di sana nanti. Tadi balik pun bukan main happy dia.. Lebih2 lagi dapat pizza domino favourite dia.. :)

P/S: Satu je mak tak berkenan tadi... Kereta mak kena blocked dgn satu kereta. Lama announce dan pusing2 mencari tuan kereta tu.. Pastu ada cikgu yg sama mencari bagitau itu kereta sorang cikgu jugak... tgh minum. Lama mak tunggu tak muncul2... 15 minit tu lebih la kott. Bila dia muncul, tak menegur pun apalagi minta maaf.. terus je masuk kereta dan bawa ke tempat parking lain. Mmmmm... macam nilah attitude org kita.. sama jenis lak tu.


Friday, November 15, 2013

Where Is My Pen?

"Umi... where's my pen? Do you see my pen? There it is! Inside the pillow... ". Pen doodle boardnya hilang..


Gembira hati umi ni bila dengar Fawwaz berkata-kata macam tu.. Sebabnya, suatu ketika uminya ni sangat bimbang sebab dalam usia 3-4 tahun pun masih belum pandai bercakap. Masih 2-3 perkataan itupun jarang. Bimbang pendengarannya kurang baik.. tapi dalam beberapa pemerhatian dan kejadian, buat kesimpulan sendiri yang tiada masalah pendengaran padanya.

Sehinggakan mak ni buat nazar, kalau Fawwaz boleh bercakap, nak jamu orang surau di kampung makan. Tahun ni nampak perkembangan yang memberangsangkan dalam pertuturannya. Walau masih tak seperti kawan-kawan sebaya, tetap dia boleh bercakap. Dia cuma lambat bercakap bukan bisu. Dan nazar itu sudah saya tunaikan melalui makcik dan pakcik di kampung baru-baru ni. Jamuan yang ringkas di malam Jumaat je.

Oklah... intensif sebulan ni untuk sesi bersoal jawab ye dear.. Insya Allah..


Thursday, November 14, 2013

Jangan Berhenti Berharap...

Seronok tengok posting status orang kat fb hari ni... Kebanyakannya sudah pasti post gembira. Dengan result UPSR yang cemerlang dan musim penyampaian hadiah atau istilah yang banyak digunakan sekarang iaitu Hari Kecemerlangan. Tak kurang juga posting2 atau shared stories yang meruntun jiwa.. membuat airmata ni berguguran. Kalau zaman akak remaja dulu istilah kami airmata seorang rocker... :P  Jiwa akak sekarang ni amat lemah kalau tengok kisah kanak2 yang sedih ni... huhuhu.

Bila tengok kisah kejayaan anak2 orang, akak jadi sedih pun ada. Akak simpan je lah dalam hati kesedihan tu.. Bimbang akan menyerap negativity dalam kotak pemikiran ini. Terfikir juga, apakah akan berpeluang seperti kawan2 dan adik beradik meraikan kejayaan anak2..? Ohh... jahatnya sapaan fikiran yg datang ni.

Tak mengapalah... perjalanan masih panjang dan dunia ini sangat luas. Sedang mak ni dah menetapkan dalam diri tiada paksaan dalam pencapaian akademik Fawwaz nanti. Yang penting ialah perjalanannya menjadi menjadi seorang insan. Tunggu 17 November nanti untuk pencerahan demi pencerahan...

Tiba2 akak rasa mengidam sangat nak menonton movie Temple Grandin yg akak terlepas hari tu...


Tuesday, November 12, 2013

Ujian Khas Untuk Fawwaz

Hari ni saya dapat message dari PPD pasal ujian pemilihan Fawwaz ke kelas pendidikan khas yang akan diadakan pada 17 November nanti. Tiba-tiba berdebar saya ni. Dahlah tarikh tu abinya barulah kat Jeddah kot, nak berlepas kemari. Mak ni kan cepat nervous sedari azalinya.

Mak pasrah je lah.. Ada rezeki, dapatlah.. Kalau takde, cari alternatif. Sekarang ni belum boleh nak buat keputusan selagi abi takde di depan mata. Maklumlah, abi kan PM kat rumah ni, merangkap Menteri Kewangan. Hari tu dah call NASOM. Pun ada waiting list. Harap2 sempatlah jenguk sebelum dia tutup 21 November tu.


Semalam sesi OT agak memberangsangkan sesi wrap up nya. Kata En Azmi, therapist tu Fawwaz dah melepasi stage yg basic dalam pyramid of learning tu. Sensory problem dah kurang atau takda. Social skill yang hari tu dia kata agak lemah tu pun dah bertambah baik. Yang kurang sikit ialah self confidence yang membuat dia teragak-agak untuk melakukan sesuatu. Cara memegang pensil pun dah baik, membuat saya sedikit terperanjat sebab dia belum pun pakai pencil grip yang saya belikan tu. Lepas ni baru naik lagi ke 3 perkara teratas.

Tiba-tiba saya rasa menarik pulak subjek OT ni. Tertanya-tanya dalam hati, apakah tajuk course yang kita kena ambil untuk jadi therapist ni. Ada unsur psikologi dan struktur tulang dan badan. Hahaha... sebenarnya mak tak tau nak mencari ayat yang tepat nak menggambarkannya. Ini mungkin untuk kanak-kanak yang ada sedikit 'gangguan' saraf.. Kalau yang normal, mungkin boleh terus melompat ke atas tanpa mengambil masa yang lama. Terus boleh fokus pada pembelajaran.

Saya rasa, perlu lagi membaca dan mendalami ilmu ini...



Friday, November 8, 2013

Ibu & Doa

Seorang ibu mesti rajin berdoa untuk anak-anaknya.. Kerana doa ibu, InsyaAllah mustajab. Tetapi, untuk menjadikan mustajab tu, perlulah ada perhubungan antara kita dengan Allah...


Petang tadi, saya download surah Al Quran ke dalam tablet saya dan membiarkannya di atas meja makan. Saya pula sibuk di depan komputer ni. Fawwaz kebiasaanya tak tidur petang. Tapi mungkin disebabkan suasana hening dengan alunan bacaan Al Quran tu, dia pun lena. Memang setiap malam saya pasang bacaan Al Quran sebelum dia lena.

Bangun dari tidur, dia menangis. Macam hari tu lah.. tak tentu pasal meragam. Serba tak kena. Memang bagus kalau dia dapat tidur sekejap waktu petang supaya berehat mindanya dari memikirkan game ;)  Tapi itulah, menangis kalau bangun tak tentu gaya.

Puas memujuk tapi tak berkesan, malah semakin kuat jeritnya dengan mata yang pejam. Saya pun tinggalkan dia dan ambil wudhu. Lepas tu sapukan sikit air wudhu tu kat ubun2 dan muka dia. Saya pun sembahyang Asar dalam dia masih melalak2. Agak2 jiran jemuranku dengar la kot ye.. huhuhu!

Sebelum dapat buat sujud terakhir dia masuk ke bilik dan meletakkan kepalanya di sejadah. Terpaksa mak ni adjust2 supaya dapat sujud. Nak tahyat akhir tu pun ditarik-tariknya telekung mak. Assalamualaikum warahmatullah... toleh kiri kanan.. Alhamdulillah, selesai solat. Kalau dulu2 memang saya akan marah dia sungguh2. Tapi sekarang, saya akan fikir kalau marah, dia boleh absorb ke? Dapat pulak tengah menangis macam tu...

Saya pegang tangan dia... baca Al-Fatihah.. dan 3 kul. Hampir sebak. Hembuskan di muka. Baca doa khas untuk dia petang tadi dan meminta keampunan Allah atas apa yang saya terkurang dalam membesarkan anak. Tangisnya terhenti. Dia kata tadi, Fawwaz nanges... Fawwaz sad.. Bila ditanya kenapa sad? Takda jawapan. Terus dia berubah watak sebenar. Gembira.. melompat... berlari2. Macam takda apa-apa..

Begitulah keyakinan saya terhadap doa seorang ibu. Setiap kali terlintas di fikiran, setiap kali lepas solat, doa untuk anak sentiasa ada. Dulu ragamnya lebih teruk. Setiap kali buatkan susu, saya bacakan doa, selawat, Al Fatihah.. Walau kadang2 terlaju, tergesa2 atau terlupa.. Memang ada perubahannya. Pendekata, sebagai ibu jangan putus asa.. Selebihnya kita serahkan kepada Allah.

Dan tadi dia bertanyakan abinya... "Where's abi?". Agaknya terasa lama sungguh tak jumpa abi.
Saya pun google gambar Madinah... tunjuk kat dia gambar Masjid Nabawi. "Abi is here.. Madinah"
"Abi is masjid..."
OK fahamlah dia tu abi tiada di persekitaran... :)


Monday, November 4, 2013

Fawwaz & Konvo

Hari ni sepatutnya hari besar Ahmad Fawwaz hero ku itu. Hari konvo gitu. Namun seperti dijangka, dia tidak memberikan kerjasama. Ayolah anak omak..

Fawwaz hanya setakat mampu duduk diam di tempat duduknya. Demi saat yang dinantikan, untuk naik pentas menerima 'scroll', dia melarikan diri. Cikgu minta bantuan mak. Tapi mak awal2 dah pasrah. "Kalau dia tak mau, takpe.. Jangan paksa..". Iyalah, buatnya dia meragam atau meraung, habis rosak majlis orang kikiki... Dah cuba juga pujuk, tapi dia lari makin jauh, siap nak keluar kawasan... Macam semalam la, kawan-kawan lain ambil gambar sorang2 dengan jubah di sekolah. Fawwaz je tak mau.

Sudahnya agak bercelaru sikit masa awal tu. Sebab namanya A, maka dia peserta pertama untuk kelasnya yang dipanggil naik pentas. Padahal masa tu yang naik budak lain. Hahaha...

Apa2 pun, sebenarnya Fawwaz happy dengan majlis tadi. Dia tak takut walau ramai orang. Lebih-lebih lagi bila cikgu bagi sijil dan buku dalam folder tu di penghujung majlis. Ceria muka dia mendapatkan uminya ni. Siap sudi diambil gambarnya. Walau tak clear sebab baju sama color dengan skirting meja. Sebelum balik rumah, umi pun belanja Fawwaz makanan kegemarannya, Pizza Hut Spaghetti Carbonara dan air kotak yellow (soya bean). Sebab umi tau Fawwaz tak makan dan minum tadi.

Memang dah femes ketidaksudian Fawwaz makan di sekolah dan mana-mana. Jadi, tadi sedikit sebanyak mak pun explained perihal Fawwaz pada kawan-kawan semeja. Supaya mereka faham kenapa 'pelik' sikit perangainya di sekolah.

Begitulah... :))