Pages

Sunday, March 31, 2013

31.3.13

Boleh tahan cantik tarikh hari ni.. Kejap je dah habis bulan Mac. Baru macam nak celebrate birthday & anniversary.. Rupanya dah berlalu tanpa menoleh ke belakang. Dan akak yang tercungap2 mengejarnya..

Hari ni 1st day sekolah selepas seminggu bercuti. Paling mencabar nak ajak si tuah tu ke sekolah. Dah kira set minda dia dari semalam yang hari ni kena pergi sekolah. Mujurlah abi dia ada. Ada tahap ketakutan sikit di situ.. Walau abi jarang nak marah berbanding ummi ni.

Akhirnya dapat juga ke sekolah dengan jayanya dan masuk dewan assembly. Mula dia taknak ikut cikgu, tapi bila nampak abi (dalam kereta) terus di menuju ke dewan. Tau takut.. Dan umi nampak ada sorang cikgu usher dia ke tempatnya. Pemerhatian umi, tak semua cikgu boleh 'tackle' dia. Tapi ada seorang dua yang nampaknya boleh... :)


Saturday, March 30, 2013

Seronok Kalau Ada Jiran...

.. yang mesra. Dari dulu memang akak suka hidup berjiran walau akak bukan jenis ramah tamah. Seronoknya kalau ada jiran, bukan setakat boleh membantu dikala kita memerlukan, tapi boleh juga berkongsi makanan... hehehe! Akak kan suka memberi orang rasa makanan. Macam jiran sebelah akak ni.. Walau kami jarang jumpa, apatah lagi bertegur sapa. Lagi2 musim panas ni, tak boleh sangat nak berlegar2 di luar. Tapi kalau terserempak tu, mestilah nak tegur. Tapi tegur isteri je la. Kalau hubby dia yang kat luar, akak buat2 tak nampak. Bolehhh...? ahahah.. Depa pun weekend je adanya..

Tadi petang waktu akak baru lepas sibuk berbalas message dengan abe, minta dia belikan apa yang patut di pasar malam sebab tekak ni rasa nak makan benda yang berkuah, alih2 jiran sebelah panggil. Maklum saje, port akak ni ialah berdepan dengan sliding door yang mengadap rumah dia. Sambil2 ambil angin, juga menikmati kehijauan pokok2 yang dia tanam. Free therapy gitu..

Dia panggil sebab nak bagi ni.... laksa! Banyak pulak tu... Alhamdulillah.. rejeki. Terus cancel order dekat en abe... :D



Friday, March 29, 2013

Aktiviti Cuti Sekolah...

.. yang agak hambar huhuhu!! Rupa-rupanya cuti sekolah dah sampai ke penghujungnya. Tinggal esok (Sabtu) je. Ahad dah sekolah balik di Kedah ni...

Apa yang telah berlaku dalam seminggu ni? Kerja sekolah Fawwaz tak siap... Rambut Fawwaz tak bergunting sebab takut masuk kedai guntung. Tapi mak percaya, otaknya sentiasa berjalan selagi dia tak tidur. Macam maknya juga, jarang nampak dia melahu dan statik tak buat apa-apa. Kalau tak main game, melukis gambar dinosaur & monster.. Kalau dah bosan, dia akan lompat2. Tak pun menuang semua permainan Lego tu atas meja dan mula merekacipta. Rasanya, dalam beberapa minggu atau mungkin bulan, baru petang tadi dia tidur berlama-lama kat atas sofa. Mesti penat dan mengantuk sangat sampai tak sempat nak makan nasi.

Kerja sekolah tu, bukan tak suruh. Boleh kata saban hari berkali-kali disuruh, diajak, dipaksa... tapi tak jalan. Kalau dirotan pun, belum tentu jalan... Jadi, mak buat syllabus sendiri yang lebih menarik minatnya. Ambil sikit2 dari homework tu.. Dan nampaknya mak ni kenalah jadi barber esok petang atau lusa.

Tadi pagi, dalam beberapa minit menonton MHI, kebetulan adik Darwish sedang mengalunkan ayat suci Al-Quran. Adik yang berumur 5 tahun ni dah hafal banyak surah. MasyaAllah!! Sejuknya hati melihat.. Comel sangat. Macam kanak-kanak lain juga, nampak dia sangat aktif dan sentiasa bergerak. Dan, ibunya Pn Mazlina berkata, waktu anak-anaknya bermain, dia akan memasang CD Al-Quran. Kerana waktu, anak-anak sedang aktif bermain nilah, otak mereka jalan.. "The more they play, the more they learn".

Very inspiring..
******

Dah lama tak ambil tempahan... hari ni bakar kek merah ni untuk sedara yang cuti balik kampung di sini. Esok pagi baru nak deko sebelum dia ikut tuannya balik ke Bangi  :)

Thursday, March 28, 2013

Sibuk..

Hari yang sungguh penuh jadual akak.. Duk asyik keluar masuk pagar je. Awal pagi pergi ke market, lepas tu abe ajak pergi ke Hari Pelanggan Majlis Kubang Pasu untuk semak status plan rumah yang terperap tanpa jawaban sejak dihantar bulan Disember lepas. Lama sungguh, sampai 3 bulan. Semua pihak kata takde masalah dan aci2 terkejut pulak pun ada... Katanya sangkut kat IWK. Dan bila telefon IWK, jawabnya takde masalah.. tapi bos yang kena sign pergi audit kat tempat lain (outstation).. Kita yang pelanggan ni la, duk berjanggut tunggu... haishhh, macam ni kah yang dikatakan cekap! (ayat iklan dolu2 tu.. hehe).

Habis cerita Hari Pelanggan, terus proceed ke Rumah Kelahiran Tun Dr Mahathir di Alor Star. Itu je yg dapat dilawat di Alor Star hari ni selain lawat kedai barangan kek yang sungguh menarik! Tapi mahal seposen dua dari yang di Jitra. Cheese hat kotak besar pulak, mahal seringgit dua... Tapi memang best sebab besar dan banyak benda ada.. Yang tak bestnya, akak yang dah tak berapa nak buat kek sampai lupa apa yg kena ada kalau nak jual sebiji kek! Jadi, terpaksa ulang-alik ke kedai bakeri hari ni. Tu yang jadi keluar masuk.


Malam ni pulak pergi ke kelas Haji & Umrah kat Taman Siswa yang dibuat setiap malam Jumaat. Menimba ilmu sambil dengar lawak Ustaz Razak. Memang kelakar ustaz tu.. Tapi akak dah ponteng sebulan. Sabor je lah.. Sebab akak pun kategori waiting list... kena bagi laluan pihak2 yg pergi wajib dulu. Jadi, konon2 relaks dulu... Tapi ustaz kata, walau belajar bertahun2 pun, masih ramai yang buat kesilapan di sana masa umrah dan haji.. Aduh, jadi tak boleh main2. Kena serius sikit sebab belum ada pengalaman. Moga2 sempat juga ke sana suatu masa nanti.

La ni dah mengantuk... Nak kena tidur. Ni saja nak update blog atas perkara2 yang tidak penting  :D


Monday, March 25, 2013

Peluklah Anak Itu..

Waktu tidurnya dah lama berlalu. Matanya pun dah semakin layu. Mulut mula menguap. Tapi dikuatkan semangat untuk berjaga demi 'game'. Kebiasaannya tidaklah begitu. Kebiasannya, walau ditahan juga ngantuk tu, dia akan segera menyerahkan komputer ini pada maknya dan menyambung dengan lukisan-lukisan 'artistik' sebelum lena dengan sendirinya.

Malam ini dia cuba nak menguji mak. Yang hairannya, walau mak dah 'switch off' talian internet (modem), game tu tetap berjalan seperti biasa. Walau itu game online. Maka mak ni terpaksa berkeras. Padam terus dari komputer. Tutup komputer. Maka bermulalah sesi soal jawab, tangisan syahdu, aksi2 merajuk... jua keluar masuk bilik, tutup buka lampu dan TV... ahhh! macam-macam pulak.. Tangisan semakin kuat memecah keheningan malam yang memang saban harinya sunyi sepi.. Mulut asyik meratapi game yang dah dipadam. Hati mak mula dirasuk perasaan geram dan angin satu badan.. Kalau tak kenang jiran tetangga yang tengah aman, memang dah berkumandang suara soprano mak.

Tapi, dalam menangani situasi begini, memang kita tak boleh ikut perasaan. Sebenarnya ada sedikit ego mak yang tak mahu mengalah. Perlahan-lahan turunkan ego itu. Dekati anak yang tengah kesedihan dan tidak faham perasaan bimbang mak ni. Bimbang anak akan terusan leka dengan game. Padahal salah mak bapak yang membiarkan hal itu berlaku selamakini.

Peluk anak yang tersedu-sedan sambil memeluk bantal itu. Gosok-gosok badan, tangan, kakinya.. Berselawat ke atas Nabi. Bacakan Al-Fatihah dan ayat 3 Qul. Bacakan surah Insyirah. Anak yang sememangnya sudah mengantuk itu semakin perlahan sedunya. Zikir Subhanallah, Alhamdulillah, wala ila haillallah, Allahuakbar.. dan akhirnya dia lena. Semoga nyenyak sehingga esok pagi dikesejukan hawa dingin yang menjadi peneman malam. Cuaca panas yang sedang melanda juga kadangkala mempengaruhi emosi kita. 

Semoga esok ku mampu bertegas soal game komputer ni. Walau pembelajaran serba santai masih boleh dijalankan hari ini dan prestasinya semakin baik, game itu boleh memberi cas-cas negatif jika tanpa kawalan bijak. Soalnya, inilah situasi yang si anak saksikan saban hari, sedari dalam perut, hingga kini. Melihat aktiviti ibubapa yang mencari rezeki dengan internet. Astaghfirullah.. 


Sunday, March 24, 2013

Kacau Ganggu..

Blog ahkak ni tengah mengalami sedikit kacau ganggu awam... Hari2 dapat message komen dari spammer.. Akak yakin, bukan orang kita, tapi entah dari dunia mana. Malas nak siasat. Satu demi satu topik terpaksa akak revert ke draft. Harap2 tak berlarutan atau menjadi kronik. Kalau tak, kenalah tutup semua.. Ngomel sorang2, baca sorang2... :(


Saturday, March 23, 2013

Better Late Than Never..

Hari ni selain memujuk Fawwaz untuk keluar tetapi tak berjaya, saya berusaha juga memujuk dia untuk belajar. Terutamanya, menyiapkan kerja2 sekolah yang dibekalkan cikgu sebelum cuti. Pun puas pujuk, tapi tak berjaya.. Bukan saja tak mau buat, boleh naik marah dia kalau tunjukkan benda tu..

Takpelah, mak tangguhkan ke esok pulak. Tapi hari ni adalah jugak progress untuk pembelajaran yang lain2.. Antaranya, menghafal hari2 dalam English dan Melayu, membaca huruf dan sebutan alif - tha, melukis dan mengeja perkataan "dinasour",  memperbaiki cara memegang pensil dan hafazan. Paling saya seronok, dia dah nak hafal surah Al-Fatihah dan An-Naas. Walau pelat tapi sekurang2 bunyinya dah hampir dekat. Sepatutnya saya dah ajar lama dulu. Tapi sebab dia belum faham, belum juga pandai bercakap dan pelat, saya diamkan dulu. Menanti waktunya tiba dengan penuh harapan... Lagi pulak, dia langsung tak boleh diajak membaca iqra'. Akan menimbulkan pertengkaran kerana dia yg akan lead kita, bukan sebaliknya.

Bila berbual dengan makcik Ika saya yg memiliki tadika sendiri dan adik saya Nazuwa yang memiliki anak hampir serupa masalahnya, saya diberikan idea. Teruskan saja dengan hafazan sementara dia boleh diajar iqra'. Memang ada masa dia mau, ada masa mengada2 terjerit2 baca, ada masa dia tunggu kita tanya nak baca ke tidak dengan muka baik dan ada masa tak mau langsung. Kita kenalah sabar melayan kerenah tu.. InsyaAllah ada  perkembangan positif nampaknya. Biar pelat, mungkin maknanya lari, tapi kita usahakan sampai elok. Kalau dengar kawan2nya membaca surah2 lazim di sekolah, memang terasa sejuk hati. Dan kita pun teringin anak kita macam tu. Tapi kan anak2 kita ni tak sama... Allah uji mak dia sekali supaya lebihkan usaha. Maknya dulu darjah 2 dah khatam Quran, harap2 masih ada harapan untuk si anak menyamai rekod mak... :)


Selain asyik dengan game sampai saya diam2 switch off modem kat atas, dia jugak tak jemu2 melukis gambar dinasour hari ni. Kat white board, doodle board dan drawing block... semua dinasour. Macam rasa nak muntah pun ada bila ulang2 tengok itu je... hahaha! Anak... oh... anak. 


Cuti Yang Sepi... :D

Wah! Nampaknya dan 2 hari Matrix ku tak bergerak dari tempatnya... Anak bujang saya tak mau bila diajak keluar. Nak beli suratkhabar pun tak boleh.. Apalagi nak jalan2 cari makan.

Untuk hari ni je entah berapa kali mak ni ajak dia keluar rumah... jalan2 ke, pergi pasar malam cari jelly (dadih) ke... dan entah apalagi cadangan.  Dia jawab "Fawwaz stay hiya" atau "I stay hiya.." (american slang punya 'here').

Mulalah anak omputih nih... Perangai lama masa kat Bukit Jalil datang balik. Kalau ngan mak ni susah diajak keluar. Tapi kalau ada pak dia, cepat je siap... Double standard betul. Ni pak dia pi cuti2 Kuala Lumpur sampai hari Selasa. Pengsanlah mak ni kalau duk stay kat rumah jee.. Setakat nak masak stok banyak. Ni, susu pun dah nak abis, majalah dah habis baca... mati kutu mak tau!! TOlonn.. tolonnng


Thursday, March 21, 2013

Cuti Sekolah Dah Bermula....

...dan buat pertama kalinya saya dan Fawwaz tak balik kampung!! Huwaaaa.... sedihnyee!!! Kalau dulu beribu batu pun kami balik waktu cuti sekolah, ini ratus km je pun kami tak balik.

Sebenarnya saya tengah membina kekuatan jiwa.. Nak menjadi penduduk tetap di sesuatu tempat, kena kuat ketahanan diri. Kalau dulu duk KL, setiap bulan balik kampung, sekarang kena anjakkan sikit. Lagipun belum2 dah terasa penat nak meredah jalan melintasi Kedah, Penang, Perak dan baru sampai Selangor. Itupun dah untung sebab kampung saya betul2 di hujung Selangor.  Dapatlah perjalanan dalam 6 jam. Biarlah cuti panjang 2 minggu nanti, baru fikir nak balik. Mmmmm... rindunya daku kat rumah kuning tu! Tenang... tenang ye cik siti...


Wednesday, March 20, 2013

Cuti-Cuti Langkawi 2013

Dah lama akak mengidam nak gi Langkawi. Masa duk kat Bahrain akak dah pesan2 kat abe supaya bawa kami bercuti ke Langkawi, selain keinginan nak ke Terengganu. Last akak gi Langkawi masa baru mengandungkan Fawwaz atas urusan kerja. Balik hari je. Masa tu pun belum perasan yg akak mengandung. Padanlah letih semacam je. Dah lah bulan puasa... Ahhh... itu semua kisah lama. Fawwaz pun dah nak masuk 6 tahun. Saja je nak mengimbas... hehehe!

Abe bawa jalan2 sempena birthday akak yg ke-43 dan anniversary kami . Bukanlah percutian mewah.. macam biasa free & easy je. Kebetulan pergi tu, 2 hari hujan di petang hari. Jadi tak boleh nak aktif sangat. Dah lama Kedah tak hujan.. Alih2 kami cuti, hujan rahmat turun... :)

Target utama nak bawa Fawwaz mandi kat beach. So, tempat yang popular ialah Pantai Chenang. Duduk di Sandy Beach Resort yg memang strategik tu.  The last time akak cuti2 Langkawi dan stay di P.Chenang ialah pada tahun 1998. Mak aihh... punya lama! Dan punya banyak perubahan sekarang!!! Totally berubah.. kecuali akuarium yg masih tegak kat situ hehehe...

Naik ferry dari Kuala Kedah... Fawwaz teruja naik feri..

 Masa yg dinanti2kan... anak & abi main pasir n mandi...  mak pulak control ayu ja.. hehe

.... dan acara2 seterusnya.. :)


Balik bersama barang2 tuaian di Kedai Hj Ismail... dan singgah baca doa di tapak rumah yg tunggu masa je nak bermula, tapi banyak pula karenah pejabat2 berkaitan.. 
Semoga bahagia selamanya, amin  :)

Sunday, March 17, 2013

17 Mac 2013

Owhh... meningkat setahun lagi umur ku.. Dan aku semakin mendekati mati. Semoga Allah sentiasa memberiku taufik dan hidayahNya serta melorongkan daku ke Taman SyurgaNya, dambaan seluruh umat manusia.. Amin.

Genap juga usia perkahwinan ku yg ke beberapa tahun... dan genap 6 tahun pemergian nendaku, Siti Makiah ke alam Barzakh. Semoga Allah sentiasa merahmati roh nenda di alam sana. Juga Allah kurniakan rumahtangga kami kasih sayang dan rezeki yang melimpah ruah dalam keberkatanNya.

Rasa letih dan mengantuk pulak untuk terus menulis... Petang tadi baru pulang dari percutian di Langkawi. Terima kasih en suami atas segalanya. Dikaulah suami terbaik buatku, yang Allah takdirkan buat diriku.. Sesungguhnya Dialah perancang yg terbaik.. :)

hehe.. kalau nak ambik gambar bertiga, mesti kelam kabut nak kawal budak yg sorang tu...

Wednesday, March 13, 2013

Fawwaz & Sakit Perut..

Sakit perut tu adalah mainan mulut Fawwaz. Nak katakan hari2 dia mengadu sakit perut. Memang betulla dia sakit perut kot.. Sebabnya, dia susah nak makan. Banyak benda tak kena dengan selera dia, walau makanan kegemaran. Kalau di rumah tak mau makan, apatah lagi di sekolah.. Memang tak pernah atau jarang makan. Kelmarin je mak ni dengar dia cakap yang cikgu bagi kek... Masuk kat tummy dia.. heheh.

Perutnya masuk angin atau kembung. Lebih banyak bergantung dengan susu. Dan petang ni, entah berapa banyak dia refill perut dia dengan susu. Tapi ada juga selera dia makan tengahari tadi sebab mak gorengkan ikan keli. Petang cuma makan kitkat. Pastu minta burger kat abi.. Tak sampai separuh, dah hilang selera. Agaknya dah jemu sebab minggu ni je entah berapa kali permintaan burgernya tertunai. Akibatnya malam ni, entah berapa kali dia muntah. Mesti angin dah tak tahan nak keluar, bergumpal. Pulak tu, dia ada masalah buang air besar. Terakhir tadi, mak baru masuk rakaat ke2 solat Isya', terpaksa batalkan sebab dengar dia duk ek ekkk nak muntah. 2-3 hari ni solat mak memang selalu terganggu dengan kerenah dia.. Sabar je lahhh. Moga besar nanti jadi anak yg soleh, bantu mak masuk syurga.. Amin.

Moga2 tidurnya nyenyak sampai ke pagi dan tak demam. Esok lusa dah nak cuti2 Langkawi. Cuaca pun panas kering. Tu yang kadang tidur pun menggelisah..


Tudung..

Entah kenapa mata ni rasa tak ngantuk pulak. Jadinya, akak pun berusaha supaya rasa nak tidur dengan menaip di hujung tilam. Bukan hujung katil ya... hahaha.

Kejap tadi sempat shopping2 beli tudung kat kedai De Niza. Beli satu je.. Sebab tengah pasang angan2 nak tempah pulak kat kakak senior saya yg duk tayang je tudung2 custom made dia. Berkenan pulak.. Sambil nak beri sokongan kpd kawan2. Harap akak nak menjahit... nak jahit hujung slack yang terbuka benang pun boleh mengeluh. Punya tak minat!
Antara koleksi De Niza

Dah lama tak beli tudung baru. Bila hantar/ambik Fawwaz ke sekolah, rasa outdated tudung akak pakai. Takde layers, takde skirting... hehehe macam lapik meja lak nak skirting.. Rupanya akak ketinggalan pesen. Satu lagi, banyak baju dah takde tudung yg matched. Semalam dah tinjau2 kat sekurang2nya 5 kedai di Jitra dan BDA. Tapi takde yg berkenan. Jatuh fussy pulak! Tu yang malam ni nekad beli online je. Kat kedai Zai tu selalunya kualiti amat memuaskan. Tu yg akak selalu pakai sepanjang zaman tak tukar2. Last beli masa akak duk Bahrain lagi.. punya lama.

Moga2 sempat lah sampai sebelum cuti2 Langkawi Jumaat ni. Kalau tak sempat pun takpe, dah belinya lambat... OKlah, baru rasa nak tido. Selamat tidur dan semoga bangun esok pagi... Jangan lupa baca doa tidur dan bangun tidur...


Monday, March 11, 2013

Kan Betul...

Seperti dijangka, memang dia tak mau ambik gambar... Cikgu Mazlan (guru kelas) cakap dia duk kat tepi toilet ke mana entah.. Memang bakal takde kenangan dengan kawan2 tadika & pra. Dah sampai rumah, mak ambik le gambar ni.. Kalau main2 macam ni, dia takpa. Tadi plan nak snap masa dia masih lengkap, lupa pulak...

 Untunglaa... balik dapat aiskrim stoberi..

Baju Punya Pasal..

Letihnya rasa... Bukan letih fizikal, tapi letih minda selepas memujuk anak ke sekolah. Bukan dia asalnya tak mahu ke sekolah walau hari2 sebelumnya itulah yg disebutnya. Tapi sebab hari ni dia kena pakai uniform sukan sekolah. "By hook or by crook!" cikgu kata. Sebab nak ambil gambar. Dan dia tak suka. Nak menyarung seluarnya pun terkumat-kamit mak ni baca doa. Alhamdulillah dia tak bertanya. Sebelum ni memang dia tak mau sarung pun. T-shirt nya baru dapat semalam. Lewat sikit dari kawan2 lain sebab stok tak cukup. 
Gambar tahun lepas... yg nak masuk perut cikgu tulah Fawwaz.. hehe!

Pagi ni tshirt tu buat dia meragam. Dari rumah mak sarungkan dulu tshirt putihnya supaya dia mau ke sekolah. Dah sampai sekolah baru sarungkan tshirt tu. Tshirt yg semalam bukan main gumbira dia bawa sebab cantik katanya. Tak tau lah berjaya ke tidak cikgu2 tu mententeramkan dia. Demi cikgu ambil alih je, mak terus tinggalkan. Kalau ditunggu, mungkin tak berkesan. Pesanan mak, kalau dia tak mau ambil gambar biarkan. Tahun lepas pun macam tu, dia sorang tak bergambar.. :)

Ya Allah, permudahkanlah kami ibubapanya... dan permudahkanlah guru2nya mendidik dia. Anak yang tidak nakal, tidak lasak, tetapi tidak kenal rehat, manja dan jiwanya sensitif.


Sunday, March 10, 2013

Sabah Untuk Rakyat Sabah


Banyak sangat fakta yang dibentangkan di dunia siber ni tentang Sabah. Semua orang dah nak jadi pakar sejarah. Segala2nya tentang Sabah digali, dikorek... Dulu saya belajar Sejarah setakat tingkatan 3 saja. Walau saya selalu mendapat markah tinggi dalam matapelajaran itu, saya pun tak ingat sejarah tentang Sabah ni. Sehinggalah saya membaca satu persatu apa yang dibentangkan oleh mereka2 di internet dan terutamanya di Facebook.

Saya berpendapat, kita melihat isu yang berlaku sekarang ini adalah bergantung kepada apa yang kita baca dan fikirkan. Di mana kedudukan kita? Fahaman politik yang kita 'anuti' sekarang amat memberi kesan kepada pemikiran kita. Ada antara kita yang sangat patriotik. Ada juga yang tetap nak menyalahkan orang itu, orang ini... Itu adalah hak pemikiran masing-masing. Memang rambut kita sama hitam (atau ada juga yg berwarna-warni malah beruban), kulit kita dan rias wajah juga tak jauh beza.. Tapi isi hati kita mungkin tidak sama.

Waktu ini saya suka untuk meletakkan diri sebagai rakyat Sabah. Andai negeri di mana kita tinggal dan menghirup udara ini nanti tiba-tiba beralih tangan, apakah kita mahu? Kita telah menikmati segala2nya, mengharungi suka duka atas naungan sebuah negara bernama Malaysia, tiba2 kita nak jadi negara yg lain.. di bawah pentadbiran Sulu atau Filipina? Tak payah nak fikirkan lebih jauh, tapi secara logik akal, situasi akan menjadi sangat rumit. Tapi tak tahulah kalau ada rakyat di Sabah sendiri sukakan keadaan itu... it's your own choice.

Andai kita memakai topi pemerintah, juga topi ATM atau PDRM yg sedang berjuang kini, kita pasti akan melakukan sedaya upaya untuk mempertahankan kedaulatan negeri ini. Melainkan kita memilih untuk memakai topi pengkhianat atau bahasa kasarnya barua. Hargailah usaha ini wahai saudara2 ku. Mungkin anda rasa tertindas, diketepikan selama kini berbanding kami yang di Semenanjung. Tetapi, lihatlah apa yang sedang berlaku.. Andai tidak berjaya dibenteras, kerosakan itu akan membawa kesan jangkapanjang. Keamanan itu nilainya lebih dari segala macam kekayaan. Andai ia hilang, belum tentu kita mendapatkan kembali sehinggalah "bulan dan matahari sudah tidak muncul lagi...".

Pray for Malaysia, Sabah, Lahat Datu, the security & armed forces and all rakyat. BIAR PUTIH TULANG JANGAN PUTIH MATA..


Thursday, March 7, 2013

Duit Baki..

Saya tak suka kalau ada peniaga yang buat sambil lewa untuk pulangkan baki bayaran yang sedikit. Walau 10, 20, 30 sen... dia boleh buat selamba. Padahal dah sebutkan jumlah perlu di bayar. Kalau kita takda duit kecil, mesti kena pulangkan. Kadang2 sebab dah terbiasa mungkin, maka dia pukul rata pada semua orang.

Apa sangatlah dengan duit sen-sen ni. Bukan kita pokai sangat. Tapi ada masa kita tak rasa nak beri, ada masa kita sangat bermurah hati, ada masa kita nak test uji.. Saya sendiri berpengalaman dengan pembeli2 yang pemurah 2-3 ringgit dia halalkan saja. Samalah juga kita pada orang. Saya bimbang, kalau pembeli tak reda atas kelewaan kita, hasil tu jatuh haram. Dan kita nak bagi anak beranak termasuk pekerja makan.

Mesti mau ingat, walau berapa sen pun baki, usaha untuk kembalikan. Melainkan pembeli kata "takpa.. takpa.. halal..". Jangan terus buat muka toye.. atau toge  :P


Wednesday, March 6, 2013

Tugas Ibu...

Alhamdulillah... Saya ingin melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang olehNya untuk masih bernafas pada pagi yang indah ini. Saya juga bersyukur kerana berjaya menghantar anak bujang yg seorang tu ke sekolah. Malam tadi tidurnya terganggu hampir 2 jam.. Bermula waktu saya baru je bersiap nak tidur. Sekejap lelap, sekejap bangun, berjalan, menangis.. Tak tahu apa yg mengganggunya. Maknya pula mula2 mati akal. Mula2 layan mata yang mengantuk ni. Lama2 mendapat kesegaran, bertanya kenapa? Fawwaz sakit ke? Dan dia dalam mamai juga menjawab "sakit...". Tapi tak tau part mana yang sakit tu.

Bila dah macam tu kita kena 'act' macam jururawat dan doktor. Saya pun mengusap2 perutnya dengan mulut yang tak henti2 berdoa, berselawat.. Nampak dia lega sikit. Saya sapukan minyak Mestika yang sentiasa ada berdekatan tempat tidur. Sapu di belakang dan perut. Saya jarang sapu perutnya dengan minyak angin dan yg seumpama, kerana saya rasa tak berapa elok. Tapi bila terdesak, saya buat juga. Cuma, hanya dengan minyak2 tertentu sahaja. Usapan tangan ibu tu yg paling penting..

Selepas tu, nampak dia tenang dan tidur lena. Tapi tak lama kemudian bangun menangis lagi.. Maka saya bangun, tutup kipas yang ligat berputar. Saya 'switch on' aircond pula. Saya tengok jam, dah lebih pukul 2... Saya memang lebih gemar tidur dengan kipas berbanding aircond sebab saya tak berapa tahan sejuk. Alhamdulillah, Fawwaz terus lena hingga ke pagi selepas itu. Saya sangka dia tak sihat dan tak kejutkan dia untuk ke sekolah. Rupanya dia bangun sendiri dan segar seperti biasa dan minum susu. Walau tak sempat menjamah rotinya, dan cakap tak mau sekolah, saya berjaya hantar dia sampai di depan pintu kelas.

Adakala kita terpaksa menghadapi saat2 sukar dan cemas sendirian. Kala suami ada, semuanya lancar dan tenang. Tak ada apa2 berlaku. Kala dia tiada, macam2 kejadian untuk diselesaikan. Oleh itu, hidup kena sentiasa bersiap sedia untuk sebarang ujian yang tidak terduga. Kadang suami ada juga, tapi mak tetap kena lakukan sendirian sebab mak yg lebih tau... hehehe!

ALLAH selamatkan pejuang kita..

ihsan google

Apa2 pun, saya sedang cuba mendalami hati ibu2 yang anak2 mereka sedang berjuang di Lahat Datu dan juga negara2 lain yg sedang bergolak. Saya turut merasa tempias keresahan itu bila adik sepupu yg kecil2nya dulu sering bersama saya turut berjuang di sana. Di satu malam, saya sampai sukar untuk lena memikirkan situasi dia. Apatah lagi makcik saya tu.. Ia satu ujian. Namun hikmah kejadian, rakyat Malaysia semakin patriotik dan bersatu mendoakan mereka. Sayangnya, ada juga yang semakin mengarah kepada perpecahan. Kala hati keresahan inilah, muncul pelbagai cerita dari pelbagai sudut. Tak tahu mana yg betul...

Saya fikir, hati kita2 ni semakin rosak dalam menggali kebenaran. Dalam mereka konon2 menegakkan dan memperjuangkan kebenaran, lihatlah cara mereka berbahasa... Harap2 tidak menjadi cara pertuturan seluruh keturunan. Marilah kita ajar anak2 kita supaya lebih bersopan dalam segala aspek supaya generasi akan datang juga begitu.. Ya Allah, kuatkanlah iltizam ku ini.. Aku juga sering melakukan kesilapan.


Saturday, March 2, 2013

Monster in My House Pt 2

Heheh... tak abis2 dengan monster dalam rumah ni. Tapi hari ni 'monster' tu dalam bentuk bintang kecik bernama ulat yang tergedik2. Yang keluar terloncat2 dari plastik sampah yang akak ikat kuat dan nak masukkan dalam tong sampah di luar pagar. Hari ni jadual lori sampah nak mai.. Mujur masa keluarkan dari tong kat dapur tu belum berlaku. Kalau tak mau bertebaran sampah kat lantai..huhuhuu.

Akak geli!!! Bunuh dengan racun spray tak mati, tabur garam kasar & halus duk jalan2 lagi... Menjerit2 aku sorang2. Ikut sama menggedik. Fawwaz jadi tukang sorak.

Sebenarnya inilah kejadian kedua ulat tergedik2 di depan mata kat dapur TTS ni. Kali pertama masa akak potong buah sukun yang dah masak ranum. Ironinya, dua2 kejadian waktu abe takde.. waktu dia ke KL, urusan anak2. Kalau takat kat D'aman Hgts tu, dah akak buat panggilan kecemasan! Sebab dah takde cara lain, akal kena panjang. Ku capai penyapu yg juga di tempat kejadian. Laju2 sapu ke penyodok sampah. Oh!! Mujur plastik sampah dah siap kat atas penyodok jugak, jadi tak perlu pegang. Keluarkan plastik hitam besar, kusodok pulak masuk dalam tu. Ikat pantas2, lari terus ke luar pagar... Teruknyaaaa!!! Macam orang gila..

'Benda' kat bawah ni pun Fawwaz panggil 'MONSTER'. Jadi tetamu dapur juga.. Eiiiii... geli!! Pun sama, masa abe tengah takde di rumah dia masuk. La ni hilang dengan sendiri.. Tak kose nak cuit2..


Friday, March 1, 2013

Rindu Bertamu di Darulaman... :D

Hari ni macam takde semangat yg jitu.. Walau cuaca elok, tak hujan, saya ambil keputusan untuk memerap saja di rumah. Sama lah dengan si kecik yang sorang tu. Kesian dia, nampak macam boring. Tapi tak tau nak buat permintaan jalan2 kat mama dia.

Abinya baru balik malam semalam dan awal pagi tadi dah keluar ke kursus dan terus ke KL di sebelah petang. Sesekali bila dia sebut nama abi dan berharap abi balik beli burger, kesian pulak rasa. Jadi mama kenalah layan dengan pekara2 lain yg agak menarik supaya dia tak bertanya lagi. Nanti tak pasal2 mama yg sedih. Dah lah mama 2-3 hari ni rasa sayu je bila ingatkan abi. Tetiba rasa rindu je pada abi... hehehe!! Bukan apa, pada suatu pagi, secara kebetulan mama terserempak dgn abi yg keluar dari simpang rumah pertama. Tapi abi tak nampak kereta mama di belakang dan meluncur jauh meninggalkan mama. Lepas tu mama rasa sayu tanpa pasal.. Baru mama sedar, selama kini mama tak cukup rasa.. hahaha! OK, selesai cerita Fawwaz, mama & abi!  :D

 Gigih nak melukis gambar2 dari dinasour ke robot ke space ship ke octopus ke chicken.. tapi tertidur juga  :D

Saja nak mengadu...
Petang tadi saya kononnya nak buat projek kek kukus lapis. Dengan cermatnya saya sediakan bahan. Timbang apa yang patut.. Sedia 2 bekas besar untuk 2 adunan berbeza. Dah ala2 rancangan memasak. Tapi rupanya fikiran ke laut jugak. Salah adun. Ada satu adunan tu patut guna 60g gula, saya tertukar dengan bekas lain yang berisi 200+g gula. Jadi, berganda2 manisnya. Walau dah tau salah, saya teruskan juga mengukus sebab sayang dengan bahan2nya tu. Tak taulah apa rasa. Saya simpan je dalam petisejuk. Tapi memang nampak tak berapa menjadi.. huwaaaa!!!


Membina Hati Bahagia

Tiba2 pagi saya terjumpa semula buku tulisan Dr Tuah ni. Buku ni saya baca sewaktu hati dalam dilema suatu ketika dahulu. Saya cuma letakkan buku tu di atas meja. Dan takdelah niat nak baca semula. Cuma mana tau, boleh dijadikan bahan tulisan. Tiba2 pula berangan nak jadi penulis... kannn.

Bahagia itu adalah keinginan setiap manusia. Tapi boleh tak kita dapat macam tu saja? Jawapan adalah terletak pada diri masing2. Saya pernah tulis yang bahagia itu kita sendiri yang tentukan, bukan orang lain. Kalau kita harap orang lain yang membahagiakan kita, waima suami dan anak2, memang susah la...

Ada orang 'kelihatan' bahagia dengan harta melimpah ruah atau pencapaian yang di tahap tertinggi. Ada juga yg 'kelihatan' bahagia dengan hidup serba kekurangan. Saya tulis 'KELIHATAN' sebab kita pun tak tahu apa sebenarnya isi hati dan keluhan mereka. Ada yang memang 'genuine' dan ada yang 'pretend'.

Saya sendiri tidak tahu erti sebenar bahagia itu. Tidak terlalu mencari. Saya memilih untuk tidak berfikir keterlaluan tentang kehidupan. Laluinya dengan seadanya dan cuba untuk tidak berkeluh kesah. Yang penting, lalui hari2 dengan positif dan kegembiraan. Lakukan perkara2 yang menyeronokkan. Masak, menjahit, tengok TV, makan?? Apa2 je...