Pages

Showing posts with label Autism. Show all posts
Showing posts with label Autism. Show all posts

Thursday, October 30, 2014

Blog Bersarang...dan LEGO punya cerita

Huarghh... lamanya tak masuk ke rumah ni! Adalah juga percubaan beberapa kali, tapi terhenti sekerat jalan. Yang sebenarnya takde cerita menarik untuk disembangkan...

Petang ni saya berehat panjang sampai dungu rasa otak ni. Merasa tidur tanpa gangguan di depan TV waktu sinetron. Biarkan sinetron yang tengok mak je.. hehe. Bangun-bangun baru terasa lapar. Mujur dah masak nasi dan ada lauk sambal hitam yang saya beli dengan adik ipar. Biasalah, kalau abe takda di rumah, akak umpama budak spoil yang malas tu. Cukup sekadar bersihkan rumah.. lepas tu merdekaraya dengan si bujang sorang tu.

LEGO

Kisah si bujang yang obses Lego tu... Buka mata je, selain cakap taknak sekolah, ialah "beli Lego baru..". Ingat mak dia ni toke kedai Lego ke apa... hehe. Tapi sejak dapat beberapa set Lego baru, tahap kerajinan dan motivasinya agak meningkat. Kalau nak Lego baru lagi, kena rajin belajar.. Maka adalah peningkatan pada dirinya.. menulis, membaca/mengeja, mengaji, dan lain2. Barulah ummi dan abi dia semangat nak mengajar. Tapi bab mengajar, umi serahkan je kat abi dia yang lebih melekat pada sel-sel otak Fawwaz. Yang mak dia ni agak tere mengajar ialah cara urus diri, matematik dan mengaji (doa dan hafazan), lepas tu baru seminggu ni dia minat nak baca Iqra'. Heiii... makan tahun dah nak ajar Iqra' ni. Takpalah, better late than never..huhu.

Apa-apa pun, Lego memang banyak merubah Fawwaz punya attitude kebelakangan ni. Kami jadikan ia sebagai reward atau kemajuan dia. Dr psikiatris yang baru lepas kami jumpa pun setuju dengan cara ni. Moga2 sel2 otaknya akan sentiasa berhubung.. Minggu depan dah nak periksa. Harapnya boleh dapat no.1 lagi.. hihi.








Monday, May 26, 2014

Fawwaz & Periksa

Semalam sepatutnya Fawwaz balik sekolah pada pukul 1.15 tgh. Tapi macam biasa, mak selalu nak sampai awal. Ini memang dah jadi mindset mak, sentiasa awal dari masa yg ditetapkan. Sempat duduk2 di gazebo sambil mencuri dengar perbualan ibubapa anak2 lain. Hari ni ada sambutan hari guru di sekolah. Jadi, masing2 bercerita pasal hadiah... juga peperiksaan yang baru habis.

Rupa2 nya guru kelas nampak kehadiran mak ni. Terus dipimpin Fawwaz keluar. Ni yang best kelas khas ni. Asal ada ibu bapa ambil, dah boleh keluar terus. Saya berbual sekejap dengan ustazah (guru kelas) tu. Mula2 dia cakap Fawwaz lena di kelas.. Mmmm.. memang patut pun sebab dia bangun semalam sebelum pukul 5 lagi. Panas sangat kot, tak selesa tidur. Aircond bilik masih belum ada orang nak pasang.

Satu demi satu topik.. sampailah saya bertanyakan pasal periksa. Rupa2nya Fawwaz pun ada periksa bulan ni.. hehehe! Boleh mak tak tau? Memang nak kena tarbiah mak ngan apak ni.. Memang fail. Tapi sebenarnya pertanyaan tu ada, cuma tak terzahir kat cikgu. Sebab budak2 istimewa ni tak sama syllabus dengan yang normal.

Apa-apa pun mak lega bila dengan ustazah cakap.. Fawwaz mau jawab soalan2 tu. Dorang tu pun sebenarnya tak dipaksa untuk menduduki peperiksaan. Dan yang paling mak suka, ustazah cakap kertas agamanya dapat 100%. Hihihi... macam tak caya. Iyalah, walau apa pun bentuk soalannya, yang penting dia mau buat.

Sebab di rumah, asyik main game je. Bila mood elok je, mak selit2 suruh buat itu ini. Kadang mengaji... baca alfatihah, surah lazim yg pendek2 tu.. kadang suruh tulis angka.. Macam petang semalam, mak ajak dia menguli pau, makanan favourite dia. Memang dia suka.. Cuma bila dah nak masuk inti tu, mak tak bagi pegang walau dia nak buat. Mungkin lepas ni nak ajak dia buat cookies, macam suka je dia...


Thursday, May 22, 2014

OKU Cards and TM Benefits

Dengan TM ni, macam2 pakej akak dah rasa..
Sejak balik M'sia 2012, akak dah pernah melanggan Unifi masa di Bukit Jalil.. semua baik saja, no complaint. Sesekali buat hal, call customer service, masa tu juga baik.. Lama2 akak pun pandai sendiri, tak perlu call...

Pindah ke Kedah, terpaksa tukar pakej Streamyx... takde HyppTV dah. Menderita dgn TV Astro je sampai terpaksa pakai TV free je.. Line wifi tetap cantik...

Pindah ke rumah baru, maintain pakej yang sama sampailah kad OKU Fawwaz siap.. Entah macamana, terbaca pasal pakej OKU. Pergi ke TM Point, tanya, terus tukar.. cantikkk. Murah tapi untuk internet je.. line telefon kena apply asing. Kena bayar sewa bagai.. tapi masih tetap murah dari yang asal. Yang peliknya, dari discussion dengan member2 senasib yang lain, ada yang tak dapat kemudahan ni.. huhuhu. Memang dah rezeki kami kot...

Sayangnya, sejak pindah ni line selalu meragam terutamanya internet. Tapi, sejak complaint yang terakhir, terus elok sampai kini... stabil je. Elok internet, telefon pulak meragam. Dah dekat sebulan tak boleh guna, baru sempat nak complaint. Kontraktor datang sekali, problem tak solved. Call 100 balik.. Tadi depa datang lagi, check telefon set pulak. Memang rosak lah..
Asalnya macam taknak bagi set baru sebab katanya warranty cuma setahun. Katanya lagi, warranty modem & telefon tak sama... Lepas tu alih2, dia suruh kawan dia ambil set baru.. Rupanya dia tengok kertas, pakej lama dah ubah... sekarang sudah jadi lifetime warranty. Maknanya, untuk modem + telefon kalau rosak bila2 pun masih boleh tukar percuma. Yehuuu...

Setakat ni, selain dari hal ehwal persekolahan, inilah faedah pemegang kad OKU yang kami nikmati. Kalau pasal sekolah, selain elaun yg mak ni masih blur dapat berapa tiap kali masuk, dah masuk ke belum, uniform (T'shirt dan vest) pun dia dapat percuma. Kadang2 dia balik sekolah, dapat duit belanja yang mak ni malu nak tanya pasal apa. Fail betul mokcik! Sekarang, benefits dari TM ni mak memang suka. Memandangkan dia pun perlukan internet pada kehidupan hariannya.

Teringat keluhan seseorang bila saya sebut pasal kad OKU Fawwaz... Pemikirannya masih agak skeptikal pasal kad tu. Ramai orang fikir kad ni untuk orang yang kekurangan dari segi fizikal.. mungkin juga mental. Atau mungkin dia terlalu sayang dan tak mahu Fawwaz berada dalam kategori tu.. Namun mak tetap positif. Kalau orang bising2 kerajaan bawak panda jutawan datang Malaysia, kenapa perkara murni macam kemudahan OKU yang kerajaan sediakan tidak kita hargai dan ambil?


Thursday, April 10, 2014

Ku Bersyukur Atas Anugerahnya...

Gambar ihsan google

Pagi tadi, sampai saja di porch dan menarik 'hand brake', telefon saya berbunyi. Ada message masuk...
"Han, hari ni tajuk MHI mengenai autisme.."  Text message dari makcik di kampung.

Hajat mula2 nak sapu porch yang bersepah dengan tanah tu. Maklum saja, musim hujan ni duk lalu pulak jalan tanah merah dan lalu di bawah pokok2 getah... hahaha memang adventurous kaedahnya! Tak jadi nak menyapu, terus meluru masuk ke dalam dan on TV. Mungkin baru berlangsung. Tapi pagi ni, sepanjangnya memang pasal Autisme. Cuma adalah slot Dato Maslan kejap tadi.. lepas tu sambung balik sampailah pukul 9.00 pagi.

Penuh semangat saya menonton... dapat ilmu sikit2. Sayu pun ada, sebak, gembira, dan macam2. Akhir2 tu senyum bila tengok 3 remaja autis menyanyi lagu P Ramlee. Kalau Umar tu, dah memang agak kerap performance dia di TV3 tu.  Terima kasih TV3. Tahniah Dr Hasnah Toran. Terima Kasih juga kepada Datin Seri Rosmah..

Mmmm.... memang banyak perkara yang saya dah lalui. Kalau boleh nak ulang2 cerita. Penuh babak, banyak fasa... Timbul perasaan menyesal atau menyalahkan takdir tidak pernah ada.. Melainkan letih, stress, lonely, suspen, question marks... gembira sudah pasti ada. Letih dan stress bila berhadapan dengan ragam dan tak mencapai KPI yang diletakkan dalam satu-satu perkara dan tahap umur. Lonely bila terpaksa memikirkannya sendirian dan langsung tak dapat bersuara apatah lagi berbincang. Suspen bila nak menaiki kenderaan atau berhadapan dengan orang ramai apalagi yang asing. Gembira bila sentiasa bersama dan nampak setiap pencapaian tak kira cepat atau lambat, besar atau kecil.

Hari ni lebih bersemangat dari hari semalam. Dan hampir di hujung waktu abi menelefon memberitahu pasal slot hari ini. Itulah sebenarnya antara goal saya.. bila insan yang paling penting, bersama2 menyedari dan menerima akan hakikat sebenar ujian Tuhan ini. Barulah takde satu pihak terluka dan lonely. Memang sukar nak menerima bila ada perbezaan. Walaupun umi ni tak berapa hebat ilmu dan praktisnya, umi akan sentiasa berdoa yang terbaik buatmu wahai hero umi... Rindu sangat dan rasa nak cepat2 keluar ambil Fawwaz dari sekolah.. :)


Friday, March 7, 2014

Fawwaz Kena Marah & Aktiviti Sekolah

Beberapa minit lepas saya memarahi Ahmad Fawwaz.. Tiba2 suara ni terlebih pitch dari selalu. Rasa geram bila sedari pagi tak mahu makan walau disuakan pelbagai pilihan melainkan nak minum susu sahaja. Cawan demi cawan demi kotak.. Susu plain, ke strawberry, kotak kecil kotak besar.. Maklum, ada macam2 stok hujung minggu. Sekarang ni susu pujaannya ialah susu jenama Dutch Lady dan juga air soya tak kira jenama. Soya tu rasanya ranking pertama, mungkin sebab lebih manis.

Yang buat saya high pitch tadi, dalam diam dia ambil sekotak air strawberry. Selalunya dia minta izin dulu. Bukan kedekut, tapi saya cuba terapkan padanya, setiap apa pun yg dilakukan kena beritahu, tanya atau minta izin. Selain untuk melatih dia lebih bercakap. Dan belum pun habis air strawberry tu, dia dah tak nak dan minta susu plain dalam cawan pula. Mak pun sound kuat dan dia terkulat-kulat, terkebil-kebil. Kesian tau sebenarnya. Bercampur ngan simptom2 pre-menstrual la kot... huhu.

 "Lepas ni no more air (susu) kotak strawberry!!!" Ehehh... pasal tu pun nak marah beria!
Cepat-cepat dia bangun dan capai semula kotak tu dan minum sampai habis..
"Dah habis..."
"Haa... macam tu lah. Good boy mesti habiskan minum.."  Puji balik
Umi pun panggil dia dekat dan hugs & kiss... puji lagi... berdamai
Dan yang paling umi rasa nak nangis bila dia kata "umi jangan marah..."
Sejak pandai cakap Melayu ni, kata-katanya lebih menyentuh... Tak sabar rasanya nak bawa balik kampung dan tunjuk kat mbah mama & babah Fawwaz yang terkini. Sabar je tunggu cuti sekolah nanti...

Gambar aktiviti luar kelas yang lepas.
Bowling di Jitra Mall... Umi as always, escort Fawwaz ke mana2 walau hari tu umi penat dan ngantuk sangat sebab berjaga sampai awal pagi dan seharian sebelum tu mengadap oven dan kek

Selain eye contact, dia dah boleh pose elok2 bila umi snap gambar :D

Berkumpul dulu depan kedai sementara tunggu kawan-kawan dan kompleks buka.. 

 

Nama je ada kat screen tu.. hakikatnya umi, cikgu dan kawan-kawan tolong main kan.. Fawwaz tiba-tiba kata "I dont want bowl.."


Sunday, February 23, 2014

Peluang Membuat Keputusan


Mood Fawwaz ke sekolah semakin baik.. Dia dah tak marah2 kalau disebut perkataan ke sekolah. Biasanya dulu dia akan respon "I don't want sekolah..!". Sekarang dia akan cakap "Fawwaz sekolah..".  Dan tadi umi dengan bangga beritahu cikgu yang dia sekarang seronok nak ke sekolah. Perubahannya nampak sangat. Dalam waktu yang sama, umi nak cikgu merasa turut seronok.

Sekarang ni kalau nak ke sekolah umi akan tanya dia dulu.. dan buat keputusan.. contohnya:

Umi: Esok Fawwaz nak breakfast pau ke roti?.  (Ini dua jenis makanan pagi yang dia paling suka waktu ini..)
Fawwaz: Pau...  (Malam tadi dia jawab macam tu)
Umi: Nak bawa air soya ke air kotak strawberry..?
Fawwaz: Air soya..

Jadi, pagi ni umi tanyakan sekali lagi waktu menyediakan sarapan..
Umi: Pau untuk makan ke bawa ke sekolah?
Fawwaz: Bawa sekolah..
Lebih kurang macam tu lah bunyinya.. Jadi, kenalah sediakan roti dan susu untuk breakfast di rumah

Umi: Roti nak jam kuning (kaya) atau yang ni?.. Umi tunjukkan peanut butter stripe
Fawwaz: Yellow jam...
Kadang-kadang umi tanya nak sandwich atau roti jam... Hari-hari kena tukar ayat.. hehe!

Mmmm... macam tu lah antara dialog harian kami. Kesannya saya rasa dia lebih seronok... Dan dalam setiap perkara yang melibatkan dia akan saya tanyakan dulu pendiriannya sendiri. Itulah cara saya untuk membina keupayaannya membuat keputusan atau lebih berfikir.

Sampaikan nak keluar rumah pun tak jadi kalau Fawwaz dah buat keputusan tak mau keluar... huhuhu! Yang ni lah mak lomah sikit...

Aktiviti dengan abi kelmarin.. hari cuti. Tang riadhah outdoor ni memang kelebihan abi... :D

Abi & Fawwaz buat drift... hihi

Khemah abi yang dah berusia lebih 30 tahun... beli masa abi study kat UK dolu2..


Wednesday, February 12, 2014

Fawwaz & Sukaneka

Pagi tadi saya menemani Fawwaz ke Taman Tema Darulaman untuk berjogging dan bersukan dengan murid2 pendidikan khas yang lain. Ini merupakan salah satu aktiviti luar untuk dorang. Shhh... mak sendiri dah lama tak jogging kat situ. Dah setahun rasanya.. Samalah dengan abi.. Dulu bukan main rajin jogging. Sejak rumah siap ni, langsung tak jejak. Pagi tadi, abi pun pusing 1 round sebab nak tengok Fawwaz.

Waris kena temankan sebab Fawwaz masih dalam percubaan 3 bulan. Jadi, mesti nak kena escort. No problem... Lagipun memang saya enjoy tengok budak2 tu. Anak2 yang perlukan perhatian extra dari kita ni, esp guru-gurunya.

Alhamdulillah... tak terkata syukurnya diri ni. Melihat perkembangan Fawwaz hari ni... Langsung tidak membuat kerenah malah enjoy dari mula sampai akhir. Cuma bila dah dekat habis sesi tu dia mengadu penat dan kurang bekerjasama dalam menyiapkan tugasan terakhir.

Sharing few pictures here...

Fawwaz punya uniform belum siap.. So pakai tshirt biru sekolah je..



Ustazah umi yg kena tolong Fawwaz dalam semua acara... hihi



Say cheese...

In shaa Allah... maju terus ke hadapan ye! :))

Nota:
Sikap anak2 autisme ni tidak sama tapi ada similiarity pada sesetengah perkara. Sebagai orang yang paling dekat dan rapat dengannya, kita kena terus menggali potensinya dan mengenalpasti cara yang sesuai untuk mendidik dia. Setakat ni, saya dah agak lega dalam menangani sikap dan emosinya. Dah dapat mengatasi jika dia mula nak membuat ragam. Dah lama dia menjauhi dunia tantrum.

Cuma... dia tak suka dipaksa atau didesak. Desakan akan membuat dia stress dan mula meragam. Dia juga akan menyorok bila ada kanak-kanak datang ke rumah. Scared katanya. Yang ini, mak masih dalam proses pengajian macamana nak mengubahnya. Kalau di tempat lain, agak lain dan dia boleh kompromi. Cuma dia akan menjauhkan diri, menundukkan kepala atau menutup muka.

Sebaliknya, jika berada dalam kumpulan yang dia dah biasa contohnya rakan2 sekolah (tak kira yang sama aliran atau tidak), dia berperilaku normal. Dia boleh fokus atau duduk diam bersama-sama mereka. Dia juga akan participate, macam sukaneka semalam. Aktiviti2 sebegitu agak menyeronokkan dan membantu dia bersosial dan menyesuaikan diri kepada persekitaran di luar rumah.

Terima kasih tak terhingga kepada guru-guru yang mengikut pemerhatian mak ni sangat perihatin dan menyayangi anak-anak istimewa ni. Kalau anak2 itu gifted, guru2 tersebut juga gifted sebab mampu memilih aliran yang sungguh mencabar tu... Allah bless you all... (mak dah syahdu... huhuhu).

Saturday, January 25, 2014

Aktiviti Fawwaz Minggu Ni..

Pagi tadi mak joined Fawwaz menghadirkan diri ke sekolah dan berarak serta mengikuti program sempena sambutan Malidur Rasul anjuran sekolahnya.  Program tu rupanya tak wajib, tapi bagus juga kalau datang. Dan tak ramai pun parents yang ada. Cuma dalam surat Fawwaz, waris kena ada. Mungkin untuk murid khas je kot..

Bagusnya, Fawwaz dapat mengikuti program sampai habis tanpa masalah. Walau di hujung masa murid-murid lain ramai menggelisah bangun dan duduk terutama yang normal, Fawwaz tak berganjak dari tempatnya. Mak ni rasa dah cukup besar pencapaiannya tu. Maklum, kanak2 autisme ni terkenal dengan perilaku tak boleh fokus atau duduk diam. Kalau kat rumah tu tak mengapalah. Memang dia akan menggembirakan diri sendiri dengan melompat, berlari, berjalan, humming dan macam-macam lagilah... hehehe.

Sambil berarak tadi sempat berbuat dengan gurunya. And this was the best part to listen yang buat hati mak berbunga-bunga. Bermula dengan cikgu bertanya dulu mak ni kerja ke.. Pastu mak pun ceritalah, berhenti bila dapat anak (Fawwaz). Lepas tu duduk oversea, etc etc.. Niatnya biar cikgu2 tahu background Fawwaz serba sedikit. Dan pastinya, orang akan relate duduk luar negeri tu dengan speaking London Fawwaz tu.. Cepat2 mak cakap, bukan pasal duk luar negeri, tapi kartun Disney tu.. Dan sebenarnya bukan semua budak yang tengok katun Disney akan cakap English... Special Fawwaz ni.. hihi.

Cikgu cakap adanya Fawwaz ni menceriakan kelas. Sebab bahasa dia tu lah.. Cikgu pun kena cakap English la kot.. Sampaikan nak baca buku cerita BM pun, Fawwaz sampuk dalam English. "Ah sudahh..." kata cikgu yang pernah sembang dengan mak minggu lepas. Lepas tu, cikgu cakap Fawwaz sebenarnya dah naik kelas. Dari kelas D, dah upgraded. Selain tu, dah boleh tulis nama sendiri.. Ini yg buat mak paling suka dengar, sebab kat rumah langsung tak tunjuk talent. Walau kalau nak tulis tu, cikgu kena sebut huruf2 nya dulu.. Cikgu cakap, Fawwaz pandai... Aduhh, nak pengsan mak! Harap2 cikgu dapat mencongkil lebih banyak bakatnya.. In shaa Allah. Mak akan doakan sebanyak2 nya... Amin.

Macam yang selalu saya kata, kalau ada anak istimewa ni, setiap peningkatan walau sekecil mana pun, akan membuat hati mak ni kembang-kuncup. Gembira sangat.. Jadi, sentiasalah berfikiran positif. Walau adakala, akan terusik juga jiwa ni terutama bila memikir masa depannya..





  


SPEECH THERAPY (ST)

Hari Khamis kelmarin masa sesi ST di hospital pun mak dah teruja. Selain kesabarannya menunggu giliran tanpa berganjak dari tempat duduk, response nya pada sesi tersebut pun baik. Kali ni adalah dalam bentuk penguasaan cerita "cause and effect" dan jalan cerita menggunakan perkataan "first, next, then & finally". Cuma kalau boleh, therapist kena lebih pandai cipta suasana atau mahir bahasa yg Fawwaz guna tu.. Mak pulak rasa nak menyampuk-nyampuk kat sebelah. Mak bayangkan kalau Wardina jadi speech therapist, mesti Fawwaz lebih teruja... kikiki.

Memang kadang-kadang mak gelak bila ada Fawwaz ni. Pak long, Pak Tam, mbah, dan lain2 semua kena sama speaking dengan Fawwaz. Pak Long & Pak Tam kat Kedah ni jumpa Fawwaz je keluar kemahiran bahasa dorang..hihihi. Cikgu2 dari zaman duk KL dulu sampai la di Kedah ni, semua kena tukar bahasa bila cakap dengan Fawwaz. Kadang mak yang dengar ni tergelak dalam hati.. Mak pun kalau takde Fawwaz ni, mesti dah lupa bahasa penghantaran masa belajar dan kerja ni. Duk cakap merapu je. So, mind your language ya... tak pun terpaksa melatah Oh! My English... :D

Kesimpulannya, bercakap pasal Fawwaz memang sangat menghiburkan. Namun mak ni masih duk gali-gali juga apa sebenarnya kebolehan dia. Yang nampak sekarang, dia pandai melukis benda kecik2 dengan ekspresi muka dan mata. Cute! Tapi tak bagi kita tengok. Kalau kita jenguk2, dia akan padam doodle board merahnya tu...

 Di meja ST... berjaya selesaikan gambar

Kad cause & effect.. sebenarnya dia lebih kepada cipta situasi ikut suka dia, bukan ikut cerita sebenar.. hehehe

Ini pulak terapi umi untuk Fawwaz, belajar dari group AM... macam2 cara nak suruh dia pegang pensil dengan betul...

Mak pun nak menepek kat sini lah... :P

Tuesday, January 21, 2014

Ajar dan Fahami..

Gambar ihsan Google

Masih belum terlaksana misi mak ni nak hantar Fawwaz ke Akademi Autisme Kedah tu.. Borang semua dah isi, tinggal nak photostat dan submit je. Tapi yg lebih penting, green light en abi. Selagi abi diam je memang umi tak boleh nak buat apa2 atau umi main redah je. Takpelah, abi mungkin kena ambil masa untuk digest apa sebenarnya fokus pendidikan khas utk budak2 autisme ni. Nak hantar ke sekolah agama, memang belum nampak keupayaannya. Bimbang menjadi stress para pengajar, belum kira budaknya lagi.

So, apa yang boleh mak ni buat ialah masukkan sikit2 ilmu yang ada secara santai dan tak mendesak. Selain banyakkan bertanya itu dan ini supaya dia bercakap. Tanyakan apa yang dia belajar di sekolah. Selalunya memang tak faham pun... hehehe. Tapi kita kenalah belajar juga bahasa kanak2 macam ni. Contoh bila dia bercerita dan kita tak faham sangat, ambik ayat2 mana yang kita boleh tangkap dan ulang balik ayat2 tu pada dia. Kalau betul, dia akan kata 'yes'.. tapi kalau salah, cepat je jawabnya 'no'.

Semalam mak ajar dia tentang rasa.. suruh dia rasa gula dan garam. Rasa gula manis dan garam masin.. gula is sugar and sweet.. garam is salt and it's salty.  Hahaha... memang kena ajar dwi language. Tapi dia nampak seronok dengan sesi tu. Kemudian ajar perkara2 lain pula. Doa, hafalan surah pendek, selawat... itu yg paling mudah nak ajar secara santai atau sebagai pertukaran jika dia nak susu. Bacaan hafalannya walau Al Fatihah masih tak tentu sebutan lagi, begitu juga surah 3 Kul. Tapi dia dikira hafal.. Nak brush lidah dia tu asyik lupa je.. kurang kerjasama pun ada.

Tadi pagi, sambil menyarungkan uniform di dalam kereta, mak bacakan doa Robbish rohli.. tiup di mukanya. Lepas tu suruh dia ikut berselawat.. Alhamdulillah, mood nya baik untuk ikut. Kadang2 dia akan cakap "I don't want Allahumma...!" Huhuhu... moga2 Allah lembutkan hati anak ini. Dan yang pasti, walau perlahan dan hanya perkara2 baru yang kecil dilakukan, hati mak ni akan berbunga2 kegembiraan. Mungkin perasaan ni hanya kami parents kepada anak2 istimewa ni lebih merasanya sebab budak2 normal seusia dah jauh ke depan. Hanya pengucapan "good morning mom!" pun mak ni dah tersengih2... Syukur ya Allah... :)

P/S:
Ada satu situasi di satu petang di Ikea.. hari Jumaat lepas. Taulah petang, cuti umum pulak tu.. Ikea takkan kosong punya. Berpusing2 cari parking tak dapat. Akhirnya mak cakap "Fawwaz, baca bismillah...". Maka Fawwaz pun ucaplah Bismillahirrahmanirrahim dengan pelatnya.. Miracle la.. masa tu juga ada orang berjalan ke keretanya, nak keluar.. betul2 depan kami. Alhamdulillah... memang doanya makbul. Abi pun mengangguk bila umi cakap. Jadi, kita ni selalulah ajar anak2 yg suci lagi tu berdoa untuk kita...


Tuesday, December 3, 2013

Sesi Bersama Psikiatris

Setelah menunggu berbulan-bulan, hari ni dapat jumpa psychiatrist untuk kali ke-2. Kat HSB ni macam biasalah, ramai dan sesak terutama di bahagian pendaftaran dan klinik2 tu. Appointment pukul 11.30am, kami sampai 9 lebih sikit. Tak silap nombor giliran tengah dilayan di kaunter 2 masa tu ialah 7515.. kami lak 7561. Perghh... dekat 2 jam la tunggu. Ngam2 dapat nombor, dekat pukul 11 tu... Tiba2 terasa pandai lak estimate masa. Kat situ adalah banyak kaunter, ikut klinik.

Fawwaz & favourite gadjetnya.. sabar menunggu sampailah abi datang menyelamatkan.. :D

Ni pemandangan dari satu sudut.. sebenarnya ramai lagi di luar & dalam ruangan ni... huhu

Sesi bersembang dengan Doktor Affendi tadi...

Melihat sikat cool Fawwaz tadi dan penjelasan umi & abi berkenaan tingkahlaku dan perkembangan Fawwaz kebelakangan ni, Dr mengambil keputusan untuk tidak memberi ubat fokus seperti yang dia cadangkan sebelum ni. Doktor bagi surat untuk pihak sekolah terlebih dahulu untuk buat penilaian dalam masa 1 bulan. Baru nanti Dr akan bincangkan semula dengan parents. Next appointment will be on 1 April 2014. Tengok tu... berapa ramai orang Q untuk jumpa Dr ni. Sapa2 ada anak-anak yang pandai, boleh suruh diorang juruskan pada bidang ni... Macam tak cukup je. Atau patient makin ramai..

Memang Dr kata patient makin ramai sekarang ni. Selaras dengan sistem sekolah yang sekarang ada penilaian tertentu (mokcik tak reti nak sebut) terhadap pencapaian murid2. Yang band g tu la kan... Dorang terkejut juga bila mak kata dalam group fb AM (autisme M'sia) tu ada lebih 3000 members. Padahal tadi mak check balik dah lebih 4000!

Kesimpulan Dr, Fawwaz ni OK la tu.. Nampak dia pun elok je duduk tadi sambil bermain2 dengan binatang plastik atas checkered mat. Yang penting katanya, ialah rawatan OT dan speech tu. Bila dah dapat bercakap dalam suasana yang betul, kira baiklah. Cuma memang agak lambat dalam usianya. Dan juga perlu galakan untuk bersosial dengan mengikuti kelas2 yang bercampur cth tae kwan do, art, swimming etc supaya dia boleh bersuara apabila memerlukan sesuatu.

Tiba2 semangat umi ni meninggi.. Cuma, tinggal tunggu respon abi je. Abi takda kata apa2 pun lepas sesi tadi.. dan ini boleh merencatkan semangat umi kalau diikutkan sangat... Macam dulu2. Sokongan perasaan amatlah penting dalam menghadapi situasi macam ni. Mujor mak ni ada back up 'cheer leaders' kat balik tabir kehidupan mak... Tak bestkan ending ni.. ;)


Sunday, November 24, 2013

Speech Therapy 2

Hari ni punya appointment speech therapy di HSB sepatutnya pada pukul 11 pagi. Tapi mak ni saja test nasib dengan pergi lebih awal. Pukul 9 lebih dah sampai di kaunter. Hari ni juga nasib agak baik dengan mendapat tempat parking yang sewajarnya. Selalunya mak parking kereta dekat atas divider tu sebab sentiasa penuh sesak. Hari ni divider pun penuh semuanya. Syukur teramat bila sorang tu suruh mak follow dia dan keluarga yang dah nak keluar dari situ.. :D

Di kaunter, mula2 staf tu soal juga kenapa datang awal. Saya pun kata takpelah saya tunggu. Maksudnya, kalau dah appointment pukul 11, biarlah dalam group yang sama appointment tu kami the first. Letih kalau tunggu lama-lama melepasi waktu. Tapi rupanya dapat giliran awal juga... hehehe! Mujur awal, sesi Fawwaz belum habis, pegawai tu dah dipanggil doktor.

Fawwaz hari ni sangat bagus. Walau banyak yang dia tak respon seperti sepatutnya, mak ni tetap gembira dengan kelancaran sesi tadi. Yang nak kena brush up kali ni ialah skill 'cause & effect' dia. Sepatah2 dia jawab bila ditanya. Contohnya, ada 2 flash card yang menunjukkan satu perbuatan seperti bermain bola di dalam bilik. Effectnya pada kad kedua yang menunjukkan akibat bermain bola di dalam bilik, pasu bunga mak jatuh... :)

Dalam tu, mak sekali buat pemerhatian tentang tingkahlaku Fawwaz sewaktu terapi. Tahap fokusnya agak baik tadi. Boleh selesaikan 3 subjek (agaknya lah term ni... tak tau nak guna perkataan apa). Dia juga teruja nak belajar. Sesuai dengan teknik pembelajaran secara 1 to 1. Sangat berbeza dengan di rumah. Jadinya, environment sangat penting. Begitu juga tenaga pengajarnya. Saya fikir, kerjasama yg serupa juga diberi semasa OT. Jadi, duk tengah fikir ni.. samada sesuai atau tidak kalau nak hantar dia ke personal tusyen instead of masuk NASOM atau Akademi tu. Yang mak ni tak sempat2 lagi nak buat atau daftar.

Sebenarnya, sedih pun ada menerpa... Sebab, rasanya mak ni kembali ke situasi lama.. Kena lakukan sorang2... fikir sorang2... decide sorang2. Seperjalanan tapi tidak sekapal... Tiba2 rindu pada keluargaku di kampung sana...


Sunday, November 17, 2013

Dah Selesai...

Lega rasa... dah selesai sesi ujian kelas khas Fawwaz... Tinggal nak tunggu surat panggilan ke sekolah mana je. Tapi tadi pegawai pelajaran tu dah suruh mak pilih. Mujur ada cikgu yang buat ujian tu mencadangkan SK Bukit Tinggi di Kepala Batas yang selalu jadi pilihan orang kawasan ni.  Sebagai orang baru, mak ni bukan tau sangat nama sekolah. Sebelum ni yang mak tau 2 sekolah je dan agak jauh dengan rumah dalam 6 ke 8 km ikut jalan short cut. Sebenarnya bukan jauh sangat pun kalau 8km tu.. Cuma kot2 nak masuk program lain, yang ada cuma di Alor Star. Jauhlah sikit dari 2 sekolah tu... Kalau dari Kepala Batas memang mudah sikit rasanya. Lagi satu mengambil kira musim hujan yang boleh menyebabkan jalan dekat ke pekan Jitra tu banjir.

Ujian tadi asalnya menguji mak ni juga. Mula-mula Fawwaz tak nak masuk ke tempat tu. Alhamdulillah, berkat doa Allahumma Yassir umi dia ni, Allah permudahkan.. Ujian bermula dengan Pengurusan Diri. Tak silap markah dalam 80%. Lepas tu ujian apa ya... (tak ingat). Markah rendah sikit 60%. Mula2 tu Fawwaz tak faham arahan dan mula nak buat hal. Agaknya sebab ramai cikgu kat situ dan mak ni pun cakaplah yang Fawwaz cakap English je.. hehehe! Mak pun terpaksa masuk campur jadi cikgu dan jurubahasa. Barulah Fawwaz faham dan buat semuanya.

Ujian ketiga pula ialah Bahasa Melayu. Lagilah dia tak mahir dan tak mau buat.. Jadi kena tukar ke Bahasa Inggeris. Suruh pegang pensil pun tak mau. Kemudian mak keluarkan pensil ajaib dari dalam handbag (mujur bawa pensil yg ada grip tu).. Semua betul. Bagus anak umi.

Ujian2 yang selepas tu termasuk matematik, semua lepas. Ada sorang cikgu tu yg kendalikan ujian matematik, mak rasa sangat bagus kalau jadi cikgu Fawwaz. Dengan suara yang terang dan Englishnya baik. Mak bagi cikgu tu full mark jugalah... hehe! Tapi sebenarnya uminya ni banyak juga menyebuk tolong Fawwaz.. tu yg dia yakin menjawab. Teringat kata therapist tu, masih lemah level of confidence Fawwaz.

Sampailah ke stage yang terakhir, meja pegawai pelajaran. Puan tu tengok Fawwaz dah tau yg Fawwaz autistic. Terus dia tanya pilihan sekolah... InsyaAllah, luluslah tu. Harapnya Fawwaz menemui sinarnya di sana nanti. Tadi balik pun bukan main happy dia.. Lebih2 lagi dapat pizza domino favourite dia.. :)

P/S: Satu je mak tak berkenan tadi... Kereta mak kena blocked dgn satu kereta. Lama announce dan pusing2 mencari tuan kereta tu.. Pastu ada cikgu yg sama mencari bagitau itu kereta sorang cikgu jugak... tgh minum. Lama mak tunggu tak muncul2... 15 minit tu lebih la kott. Bila dia muncul, tak menegur pun apalagi minta maaf.. terus je masuk kereta dan bawa ke tempat parking lain. Mmmmm... macam nilah attitude org kita.. sama jenis lak tu.


Friday, November 15, 2013

Where Is My Pen?

"Umi... where's my pen? Do you see my pen? There it is! Inside the pillow... ". Pen doodle boardnya hilang..


Gembira hati umi ni bila dengar Fawwaz berkata-kata macam tu.. Sebabnya, suatu ketika uminya ni sangat bimbang sebab dalam usia 3-4 tahun pun masih belum pandai bercakap. Masih 2-3 perkataan itupun jarang. Bimbang pendengarannya kurang baik.. tapi dalam beberapa pemerhatian dan kejadian, buat kesimpulan sendiri yang tiada masalah pendengaran padanya.

Sehinggakan mak ni buat nazar, kalau Fawwaz boleh bercakap, nak jamu orang surau di kampung makan. Tahun ni nampak perkembangan yang memberangsangkan dalam pertuturannya. Walau masih tak seperti kawan-kawan sebaya, tetap dia boleh bercakap. Dia cuma lambat bercakap bukan bisu. Dan nazar itu sudah saya tunaikan melalui makcik dan pakcik di kampung baru-baru ni. Jamuan yang ringkas di malam Jumaat je.

Oklah... intensif sebulan ni untuk sesi bersoal jawab ye dear.. Insya Allah..


Thursday, November 14, 2013

Jangan Berhenti Berharap...

Seronok tengok posting status orang kat fb hari ni... Kebanyakannya sudah pasti post gembira. Dengan result UPSR yang cemerlang dan musim penyampaian hadiah atau istilah yang banyak digunakan sekarang iaitu Hari Kecemerlangan. Tak kurang juga posting2 atau shared stories yang meruntun jiwa.. membuat airmata ni berguguran. Kalau zaman akak remaja dulu istilah kami airmata seorang rocker... :P  Jiwa akak sekarang ni amat lemah kalau tengok kisah kanak2 yang sedih ni... huhuhu.

Bila tengok kisah kejayaan anak2 orang, akak jadi sedih pun ada. Akak simpan je lah dalam hati kesedihan tu.. Bimbang akan menyerap negativity dalam kotak pemikiran ini. Terfikir juga, apakah akan berpeluang seperti kawan2 dan adik beradik meraikan kejayaan anak2..? Ohh... jahatnya sapaan fikiran yg datang ni.

Tak mengapalah... perjalanan masih panjang dan dunia ini sangat luas. Sedang mak ni dah menetapkan dalam diri tiada paksaan dalam pencapaian akademik Fawwaz nanti. Yang penting ialah perjalanannya menjadi menjadi seorang insan. Tunggu 17 November nanti untuk pencerahan demi pencerahan...

Tiba2 akak rasa mengidam sangat nak menonton movie Temple Grandin yg akak terlepas hari tu...


Tuesday, November 12, 2013

Ujian Khas Untuk Fawwaz

Hari ni saya dapat message dari PPD pasal ujian pemilihan Fawwaz ke kelas pendidikan khas yang akan diadakan pada 17 November nanti. Tiba-tiba berdebar saya ni. Dahlah tarikh tu abinya barulah kat Jeddah kot, nak berlepas kemari. Mak ni kan cepat nervous sedari azalinya.

Mak pasrah je lah.. Ada rezeki, dapatlah.. Kalau takde, cari alternatif. Sekarang ni belum boleh nak buat keputusan selagi abi takde di depan mata. Maklumlah, abi kan PM kat rumah ni, merangkap Menteri Kewangan. Hari tu dah call NASOM. Pun ada waiting list. Harap2 sempatlah jenguk sebelum dia tutup 21 November tu.


Semalam sesi OT agak memberangsangkan sesi wrap up nya. Kata En Azmi, therapist tu Fawwaz dah melepasi stage yg basic dalam pyramid of learning tu. Sensory problem dah kurang atau takda. Social skill yang hari tu dia kata agak lemah tu pun dah bertambah baik. Yang kurang sikit ialah self confidence yang membuat dia teragak-agak untuk melakukan sesuatu. Cara memegang pensil pun dah baik, membuat saya sedikit terperanjat sebab dia belum pun pakai pencil grip yang saya belikan tu. Lepas ni baru naik lagi ke 3 perkara teratas.

Tiba-tiba saya rasa menarik pulak subjek OT ni. Tertanya-tanya dalam hati, apakah tajuk course yang kita kena ambil untuk jadi therapist ni. Ada unsur psikologi dan struktur tulang dan badan. Hahaha... sebenarnya mak tak tau nak mencari ayat yang tepat nak menggambarkannya. Ini mungkin untuk kanak-kanak yang ada sedikit 'gangguan' saraf.. Kalau yang normal, mungkin boleh terus melompat ke atas tanpa mengambil masa yang lama. Terus boleh fokus pada pembelajaran.

Saya rasa, perlu lagi membaca dan mendalami ilmu ini...



Tuesday, October 22, 2013

Kembara Anak Syurga Ku

Pagi tadi appointment dengan paed di HSB. Awal juga keluar rumah walau appointment pukul 9. Tapi rupanya kat sini pun boleh tahan jammed nya. Itu pun mak dah buat jalan pintas secara bijak tapi jauh sikit dan parking ala2 pengembaraan Camel di zaman kegemilangannya. Hanya orang sezaman ngan akak tau pengembaraan tu.. hehehe! 

Sampai di hospital, ambil nombor, adalah lebih 30 rasanya sebelum kitorang. Sesi hari ni agak kurang menarik nak diceritakan. Keluar bilik doktor pun rasa blur. Macam kalau kita makan, kenyang, tapi takde perasaan. Tapi Alhamdulillah, doktor tu dah isi borang JKM tu. Settled satu perkara. Tinggal nak submit.

Apa-apa pun, Fawwaz happy hari ni. Selama 6 tahun dia jadi partner memandu dan travel mak. Sekarang dia dah pandai bagi warning bila laju sikit.. "Slowly... it's dangerous". Entah berapa kali dia ingatkan. Terutama bila nak masuk simpang yang berselirat macam urat..

Masa balik dari kampung hari tu, pun dia duk pantau mak dia ni. Bila mak kata "Umi sleepy...", terus dia tepuk-tepuk belakang mak biar jangan ngantuk. Hahaha... pandai betul ye Fawwaz. Wujudnya dia dalam kereta memang membantu jugak dari mengantuk. Sebab banyak juga mengacaunya... huhu!

Tadi saya rasa nak tengok balik gambar dia masa selalu travel dulu. Dalam flight. Kalau rambut botak, tanda balik dari Malaysia. Kalau rambut tebal, dari Bahrain la tu.. Gambar masa KL-Spore-KL takde pulak. Tak sangka saya dapat mengharungi cabaran tu secara berulang-ulang. Tak usah cakap kalau dia menangis dengan mata pejam dan situasi tak selesa. Masa tu kalau dah ada lagu Awi Rafael tu, agaknya mak nyanyi lagu "kalau aku kaya... pasti beli tiket 1st class saja..". Tapi abi, kalau tak balik dengan kiterang, mesti dapat upgrade tiket selalu.. Sungguh tak aci! 


Kalau kat darat pulak, selalu buat kereta macam rumah...

Yang bawah ni kisah petang tadi. Tak pernah2 tidur petang, hari ni Fawwaz tidur pulak. Agaknya penat sepagi di hospital dan cuaca sejuk pulak... hujan. Bangun tidur, dia marah sebab kat TV takde postman Pat yang dia tergila-gila tengok balik. Sebabnya musim hujan ni, Astro asyik buat hal. Berapa kali rewind entah postman pat tu. Tadi masa dia tidur, mak buka cerita Filipina kat TV3 tu. Best la pulak. Potong stim betul la Fawwaz. Mujur dapat tengok sampai habis. Tapi dia mengamuk la.. Sakit mak kena tumbuk-tumbuk. Inilah nasibku.. Sejak tau dia autism, kuranglah sikit mak melawan hehehe. Mainkan emosi je..

Bila dah agak reda, dia ajak naik atas pastu naik atas tilam. Mak tanya nak wrap ke? Dia angguk.. Tu yang jadi macam gambar ni.. berbedung. Lama juga dia nak bedung, tak bagi buka. Mak pun pasang Asmaul Husna.. lepastu Yaasin. Tak kiralah surah apa, janji Al Quran. Nampak dia tenang lepas tu. Bila dah keluar bedung, happy balik. Simpan sendiri selimut tu kat tempatnya. Itulah antara terapi yang berkesan setakat ni untuk budak tantrum. Dulu-dulu masa dia betul-betul di alam tantrum, tak dapat lagi ilmu ni. Mak cuma mandikan atau jirus dia dengan air. Baca-bacalah apa yang patut. Kan api lawannya air.. :D


Monday, October 21, 2013

Phobia Fawwaz

Hari ni Fawwaz cuti lagi. Sebab dia tak dapat nak ikut rombongan ke muzium padi & taman sains tu. Asalnya mak macam nak beri, tapi memandangkan ada percampuran dengan murid-murid tahun 1 dan 4, rasa kurang yakin pula. Cikgu pun cadangkan Fawwaz tak pergi. Kalau setakat murid-murid Pra memang mak bagi pergi. Tahun lepas masa di Kasyiful Ulum pun banyak kali Fawwaz ikut rombongan.. Seronok dia naik bas. Pergi majlis Maulidurrasul di Masjid Wilayah, sukan KU seluruh Wilayah dan ke kilang coklat dan aiskrim. Memang dia seronok sangat. Tapi apakan daya, takde rezeki untuk jalan-jalan dengan kawan-kawan dan cikgu tahun ni..

Bila bercampur dengan kanak-kanak yang tak biasa dengannya, terutama yang nampak lebih muda atau baby, Fawwaz boleh menjadi pasif atau ketakutan. Apatah lagi kalau nampak kanak-kanak yang aktif. Macam tadi, saya bawa dia ke pasaraya. Dari ceria, tiba-tiba dia macam ketakutan dan menyorok di sebalik rak-rak barang. Rupa-rupanya ada infant yang sedang dikendong oleh bapanya. Itu pun dia boleh ketakutan sangat. Keluarga tu pulak agak lambat nak berlalu selepas selesai membayar dan duk berlegar-legar kat depan tu. Terpaksa kami tukar haluan sebab Fawwaz dah buat muka cuak.

Kalau gitu gayanya memang susah sikit nak keluar ke mana-mana. Ikutkan dia dah OK sekarang ni berbanding dulu. Mudah diajak keluar. Cuma kalau terserempak dengan golongan macam di atas tu la datang problem nya. Dia akan ubah haluan serta-merta. Lately, banyak pulak cuti sekolah. Jadi, mak kena diam-diam duduk rumah dan buat aktiviti lain. Sebenarnya ada je yang patut dibuat. Mood je tak datang2. Mood sekarang nak mencari langsir yang menepati citarasa. Lepas tu nak cari mesin jahit kecik untuk repair apa yang patut. Nak cari bahan terapi Fawwaz. Nak settle persekolahan dia. Semua tak terbuat lagi.

Harap-harap sebelum abe balik adalah yang beres sikit. Idokle teman kena perli nanti..huhu!


Friday, October 11, 2013

Monster Onion!

Fawwaz baru je tidur.. akhirnya! Lama juga dia agak menggelisah walau mata tu dah kecik je.. Katanya sakit perut. Memang bila umi tepuk, ada sedikit kembung. Tadi malam dia tak makan. Puas dipelawa, dia tetap tak mau. Melainkan minum susu dan air. Entah berapa kotak susu dia minum la hari ni...

Maintenance makin tinggi budak ni. Minumnya Dutch Lady Strawberry dan full milk tu. Lain-lain ialah air soya atau jus mangga. Tadi baru order air susu kambing sedap dari Attitude Therapy. Kena pos dulu.. Lain2 susu kambing macam tak best je. Lebih kepada orang dewasa. Yang budak punya belum jumpa di pasaraya. Bukan takde rasanya, tapi akak tak jumpa directory mana nak cari kat sini.

Petang tadi sedikit berdebar bila dia pandang kat tangga dan cakap "there's a monster.. BIG ONION MONSTER upstairs..".

Mak pun pandang dia lama2. Pastu buat sergahan sikit... "HEHH!!"  Hahaha... itu macam la. Sebenarnya, hari2 dia duk sebut itu monster. Dulu pun macam tu. Tapi lama juga dah tak sebut. Ni buat perangai balik.. Ni terbayang rupa bawang kat dapur tu.. Kalau baca kisah anak2 syurga ni kat page AM, memang macam2 dorang ni. Tapi rupanya kisah masing2 hampir sama .. Termasuk Fawwaz ni.

TERAPI

Semalam saya ada mulakan terapi untuk fokus matanya. Saya belajar dari seorang ahli AM (Autisme Malaysia). Caranya, padam lampu bilik dan guna lampu suluh yang disuluh ke mata kiri dan kanan dalam gelap tu. Jadi, matanya akan ikut cahaya suluhan tu ke kiri dan kanan juga. Tapi semalam tak berjaya. Dia terperanjat dan menjerit "it's dark.. I can't see..". Terus acara berebut torch light.. hehehh!

Malam ni Fawwaz request pulak untuk terapi tu. Dia yang suruh tutup lampu. Betullah kata seorang yg komen, kena bagitahu dia dulu. So that, mentally dia bersedia. Alhamdulillah, Fawwaz ni banyak perkembangan positif sejak mengharungi pelbagai terapi. Bermula sesi kat AT dulu, pemakanannya lebih terbuka. Botol susu dah tak perlu. Sekarang pula emosinya lebih stabil walau kadang-kadang ada benda yang buat dia memberontak.

Dan sejak tahu masalah dia, mak pun sama2 stabil. Tak mudah naik angin dengan kerenah dia. Lately, kami hidup penuh ceria. Penuh gurau senda. Mudah-mudahan akan kekal begini.. :))

Bila tengok gambar ni, teringat komen makciknya... yang tunjuk gambar yuzuhiko anak si atasinchi.
Memang sama... rambutnya. Hihihi


Wednesday, October 9, 2013

Pendaftaran OKU di JKM

Hari ni aktiviti siap sekerat je.. Tapi yang penting dapat buat sedikit untuk Fawwaz. Untuk mak pulak, sempat pergi ke dua buah kedai bakeri di Jitra dan Alor Star.

Setelah gagal mencari semalam, hari ni saya teruskan misi mencari pejabat JKM di Jitra ni. Rupanya semalam dua kali saya lalu di situ, pergi dan balik. Saya duk meninjau di sebelah kiri, padahal pejabat di sebelah kanan. Gitulah.

Setelah mengemukakan pertanyaan, maka pegawai-pegawai tu (ada 2 orang) memberi penerangan dengan jelas. Memang ada peruntukan OKU untuk kanak-kanak autisme. Bentuk kemudahan itu akan disenaraikan selepas pendaftaran siap. Tadi saya diberikan satu borang yang perlu diserahkan semula dalam 3 salinan. Borang perlu disahkan doktor perubatan dan disertakan gambar serta salinan CD gambar.

Saya kira adalah hak Fawwaz untuk didaftarkan. Mungkin tidak enak dan agak sedih melihat anak yang cerdik dan comel ni dikategorikan OKU. Tetapi keahlian itu adalah untuk masa depannya. Supaya dia mendapat apa yang sepatutnya dari segi pendidikan dan lain-lain, dalam situasi kesedaran pihak kerajaan yang semakin meningkat terhadap anak-anak autisme. Inilah juga yang saya sembangkan bersama Cikgu Mazlan tadi.

Membaca status dan komen ibu-ibu di group AM tadi, baru saya tersedar yang saya tak pernah mengajar Fawwaz cara menggunting kertas.. Sebab ia akan menjadi salah satu aktiviti semasa sesi temuduga nanti. Saya juga terbiasa menjirus dan membersihkan Fawwaz selepas dia buang air. Katanya, toilet training adalah juga diambil kira dalam pemilihan pelajar nanti. Malah memakaikan seluar kasual yang berzip dan berbutang pun saya buatkan. Kalau seluar bergetah tu memang dia pakai sendiri. Selepas ni, saya kenalah suruh dia buat sendiri. Barulah up sikit kebolehan Fawwaz... hehe!

Cuma walau Fawwaz kekurangan dalam soal pengurusan diri di dalam toilet, setakat ni dia belum pernah terkecing atau berak di sekolah. Sejak umur 5 tahun, segalanya terkawal lagi. Sebenarnya faktor tempat pun mungkin memainkan peranan. Melainkan terpaksa, dia tak akan membuang air selain di rumah atau di tempat yang difikirkannya bersih atau selesa. Kalau pun bersih, kadang-kadang dia tak mau atas alasan yang mak ni pun tak pasti... huhuhu!


Monday, October 7, 2013

Anak Syurgaku - Mencari Sekolah Baru



Pagi ni mak melawat ke sebuah sekolah yang ada menyediakan program pendidikan khas. Di Jitra ni, katanya cuma ada 2 sekolah yang menyediakan program tu. Yang tadi saya pergi ialah SK Sultan Ahmad Tajuddin. Ada lagi satu tak silap namanya Paya Kemunting.

Pihak pejabat kata saya kena pergi ke PPD dulu. Kemudian baru pihak PPD akan membuat penempatan. Saya terkebil2 depan kakak tu memikirkan di mana pejabat PPD Jitra ni. Ohhh... rupanya senang je tempat tu. Berdepan dengan kedai bakeri yang saban minggu saya lawati. Hehe!

Saya pun ke PPD. Jumpa pegawai yang saya lupa nak tanya nama apalagi menjeling name tag nya. I kan pemalu.... hihihi! Mujur dah siap2 fotostat borang pengesahan tu. Sebab yang salinan sepatutnya untuk PPD dah terbagi kat cikgu haritu. Terus submit borang tu kat PPD sambil menyatakan kalau boleh nak sekolah SKSAT yang lebih dekat dari tempat kami. SKSAT tu sama dengan singkatan nama sekolah kebangsaan waktu mak kecik2 dulu - SK Sg Air Tawar. Tapi sekarang dah tukar ke nama Sri Mawar.

Setakat ni proses akan jadi seperti ni. Dah mak pun dah brief cikgu Mazlan untuk pengetahuan am..:D

1. Pengesahan masalah kanak2 oleh psikiatris. Sepatutnya ada 4 salinan.
2. Serahkan 1 salinan kepada Pentadbiran Pelajaran Daerah (PPD) untuk penempatan. PPD akan tentukan sekolah yang bersesuaian
3. PPD akan panggil untuk sesi temuduga ibubapa dan murid.

Selepas itu belum pasti. Mungkin pengesahan PPD dan arahan ke sekolah mana.

Esok, saya nak ke Jabatan Kebajikan Masyarakat pula. Nak bertanyakan apa sepatutnya dibuat. Sangat perlukah pendaftaran OKU tu. Bila memandang Fawwaz dari tempat mak duduk ni, rasa sedih pun ada. Budaknya macam normal, macam charming, speaking American... rupanya eligible untuk OKU. Namun kasih sayang mak ni bertambah2. Sekarang ni sikit2 memang kena peluk dia. Dia pulak pantang kena itu ini, beria kata sakit. Dah kerjanya terkinja-kinja je... hehehe!

Satu lagi yang buat saya semangat bila menyertai group Autisme Malaysia (AM). Para ibubapa di situ amat seronok dan bangga bercerita tentang anak2 syurga ni. Baru tau, banyak benda dorang ni sama dari segi tingkah laku. Banyak benda dikongsi. Alhamdulillah... Fawwaz dan umi tidak keseorangan.