Pages

Showing posts with label Baiti Jannati. Show all posts
Showing posts with label Baiti Jannati. Show all posts

Saturday, March 15, 2014

Hujan dan Persediaan

Alhamdulillah.... selepas 2 bulan tanpa hujan, petang tadi akhirnya ia turun membasahi bumi..
Bukan hanya di Jitra, malah hampir di seluruh Semenanjung Malaysia.
Hari kawan2 di wa hampir semuanya memberitahu akan turunnya hujan rahmat ini...
Dan saya mengambil peluang untuk berdoa sepenuh perasaan untuk MH370 agar menemui titik pertemuan.. sebelum media conference bersama PM bermula..
Petang tadi berita yang diterima agak menggemparkan namun memberi sedikit sinar harapan..
Keep on praying for MH370... and never give up!
Terlalu teruja dengan hujan yang turun, dan pengumuman PM, akak terlupa nak angkat kain di jemuran... hahaha. Padahal perkiraannya, dah patut kering kontang pakaian yang memenuhi penyidai tu.. memang pagi tadi akak buka kedai laundry.. semua dibasuh
Dah 1 jam baru teringat.. Akibatnya kena bilas balik dan sidai kat dalam..
Mujur abe dah siapkan ruang kecil untuk laundry kat dalam tu.. ruang membasuh, menyidai dan menggosok pakaian...
Abe saya memang pakar merancang... TQVM muahhh ;)




Saturday, January 11, 2014

Rumahku... dan Kegusaranku

Diam tak diam dah 3 Sabtu akak pindah ke rumah baru ni.. Alhamdulillah, rasa tenang. Fawwaz pun takde sebut-sebut rumah sewa lama tu. Setakat ni banyak juga benda masih belum settled. Belum ada perabot masuk melainkan yang built in dan home office tempat akak duduk sekarang ni. Takde meja makan, sofa, katil bagai.. Semua dah letgo masa nak pindah hari tu. Belum ada masa sesuai nak melawat kedai perabot. Hari tu ada juga melawat Fella Design.. melawat je lahh kikiki. Tapi... macam best pulak macam ni. Lapang sikit sebab rumah akak ni comel je... Paling seronok bab nak menyapu. Kejap je dah siap... ehehhh.

Rumah kami ni satu2nya rumah yang dah berdiri di kawasan lot2 tanah milik asal Darulaman Realty. Bila entah jiran2 lain nak mai buat rumah dorang tu. Banyak kenderaan lalu yang lalang melawat kawasan, tapi takde pulak kenderaan lori bawa alat binaan masuk huhu. Ramai juga yang mengesahkan kesunyian akak di sini, terutama bila abe takda. Tapi sebenarnya, tak rasa apa2 pun bila dah kat dalam rumah. Ditambah suara TV, Radio.. suara Fawwaz yang semakin kuat bercakap, dan angin Timoq yang tengah hebat menderu-deru menerjah udara. Bergeser-geser daun pokok kat keliling tu. Berbunyi-bunyi blinds kat tingkap tu.

Pagi ni je akak duk perhati ada sebuah kereta dah masuk 3 kali kot (akak pun bukan sentiasa kat meja ni...).. Kereta kelisa dengan seorang lelaki yang duk angkut bahan buangan dan dibuang ke tanah lot yang paling hujung tu. Dah jadi tempat pembuangan sampah tempat tu. Kadang orang buang sampah, kadang orang kutip sampah... tapi takde lori sampah dari majlis bandaran setakat ni. 

jadi papparazi di sebalik tingkap...  :P
Rumah kami masih menunggu kelulusan CF, baru boleh mengatur hal pengutipan sampah. Tapi tak pernah tergamak nak buang sampah ke situ. Kami akan buang ke tempat yang ada tong sampah kat tepi jalan. Kadang sampai ke pekan tu bawaknya. Mana yang jumpa dulu.. Even masa kontraktor bina rumah ni, abe dah pesan jangan buang sisa bahan binaan kat tempat orang2 tu selalu buang (tanah hujung tu). Carilah tempat buangan yang sesuai. Masa penduduk2 rumah fasa baru di sebelah ni baru dapat kunci dan pindah beramai2, lagilah selalu orang buat shortcut buang sampah kat situ. Bukan setakat kotak2, tilam pun ada.. Abe pun pernah sound budak2 yang buang bagi pihak mak bapak.

Kesimpulan akak, negara kita dan rakyat2 ni masih lemah dalam pengurusan sampah. Kesedaran sivik rendah dalam bab2 sampah. Masih tahap dunia ke-3. Kalau duk tanah sendiri yang jauh dari pandangan orang macam rumah kami di kampung dan tepi kebun tu takdelah kisahnya. Private property lagi luas. Ni di kawasan perumahan dengan penduduk yang akak agak berduit dan berpendidikan pun sama je mentaliti. Ye lah, kalau tak, mampu ke nak beli rumah semi-D yang bernilai lebih RM400K tu. La ni dah naik harga ke RM600K tau... Tapi penduduk buang sampah merata... hampeh. Marah dan keciwa akak memikirkannya.

Sembang kat sini pun tada guna kan kalau tak bertindak.. hehe. Nantilah, tengah nak fikir apa patut dibuat. Dan bukanlah pasal sampah saja yang kami fikir kat rumah baru ni.. tapi 'baja organik' tinggalan sang lembu entah kerbau kat jalan depan rumah ni. Lombu nyo tak pernah nampak. Taik nyo merato.. adohh. Tapi den lagi sakit mato tengok orang buang sampah tu...

Sorrylah... letak pemandangan jelik kat sini.. ;)


Saturday, November 23, 2013

Mencari Lampu Pula..

Misi mencari langsir masih belum berjaya dan terlaksana. Destinasi idaman akak iaitu Jakel masih tak terlawat lagi..

Hari ni mengikut abe mencari lampu. Esok electrician nak datang pasang. Lampu belum beli... kikiki. Downlight untuk lounge, lampu gantung di dapur dan dry area dah letak... tapi ni la, lebih 20 point lagi nak letak dan lampu belum ada. Ni banglo kecik comel... Kalau hat besaq2 macam kejiranan kami tu berapa banyak daa... Maklumlah, ini pengalaman pertama akak. Jadi jakun sikit. Selalunya masuk rumah je, dah lengkap semua.. Kesian kannn...

Tadi kami pergi ke 2 buah kedai di Alor Setar dan Jitra. Akak ditugaskan mencari lampu untuk bilik dan dining area je. Tapi banyak sangat kat kedai pertama tadi.. akak pulak angin cerewet. Bila jumpa yang akak dah berkenan, abe tu macam tak kenan la pulak. Sudahnya, akak mengekor dia je lah.. Dapatlah hasil memancing beberapa lampu kat situ.

Lepas makan dan solat, sambung pulak kat Jitra. Akak yang beria-iya ajak ke sana. Kat Alor Setar tadi tak jumpa lagi lampu dining tu. Kat Jitra, mata dah jadi rambang. Bukan pasal banyak, tapi pasal tak tau pilih. Sudahnya akak ambil juga sejenis tu... dan dapat juga beberapa lampu yang lain. Masih tak cukup lagi. Tapi dah ngantuk sangat.. Balik dululah. Lepas Asar abe keluar dan sambung balik misi. Sampai la ni belum balik lagi... kihkihkih. Kesian dia.... Akak dah pesan, beli jelah ikut suka dia. Akak ikut je... Senang dapat bini macam ni. Dalam cerewet ada senang... wink wink!

Sebenarnya kalau ikut dalam hati ni, adalah citarasa sendiri tu.. Tapi bila pergi dan memilih dengan abe, akak secara automatiknya akan mengalah. Dan akak tak kisah pun...

****************************
Akak suka lampu yg jenis macam ni... modern look


suka design lampu philips yg simple


Kesudahannya, kita tengok nanti bila dah pasang semua... Tadi abe balik, nampak gaya baru dapat separuh je barang2 tu.. huhuhu!

Memang besar kos membuat dan menyiapkan rumah ni....


Thursday, November 21, 2013

Mencari Langsir..

Hari masih sejuk di sepanjang hari.. Namun Alhamdulillah, 2 pasang kain ihram abe yang saya jemur sejak semalam kering juga akhirnya. Hari ni punya basuhan pulak, sambung jemur di bilik atas. Namanya jemuran sementara atau jemuran musim hujan... hihihi.

Akak ni dah tak berkesahkan kecantikan rumah dah. Rasa nak sepahkan semua barang, biar cepat-cepat masuk kotak pulak. Abe dah firmed nak pindah bulan Disember nanti, sebelum masuk tahun baru. Tadi katanya dah ukur grill. Sabtu ni nak mencari lampu untuk keseluruhan rumah dan nak siap pasang Ahad nanti.

Hari ni akak curi2 masa selepas membawa Fawwaz ke klinik sebab batuk, melawat kedai langsir di pekan Jitra tu. Plan asal nak ke Jakel, dah siap on kan Waze lagi.. Takut tak jumpa macam semalam. Memang kalau Waze tu hidup, mesti akak kena marah. Selalu sangat mainkan dia... lalala! Tapi bila dah U turn ke kedai langsir tu, seperti dijangka takde yang berkenan.

Ciri-ciri langsir yang dicari... dan payah benor nak jumpa  :P
Gambar ihsan Google..




Untuk disesuaikan dengan dinding ni...

Ada 4 tingkap je yang nak dilangsirkan.. Yang lain-lain nak guna blind. Shhh... blinds akan ikut citarasa bos besar.. Tak taule camna nanti. Akak ni jenis mudah je.. mengikut tak banyak cerita. Sesekali je bersuara kalau rasa perlu. Ada masa memang cerewet macam nak cari langsir yang 4 ni. Setakat ni dah masuk 3 kedai dan belum jumpa. Cuma yang kat Eliza's hari tu ada juga yg sipi2. Tapi harganya pun tau laa.. Satu tingkap anggaran RM500. Darab 4 = RM2,000. Hahaha... alih2 rasa kedekut 4 kali ganda juga neh...

Mampukah esok akak menongkah arus lagi sekali bersama Fawwaz demi 4 keping langsir? Tungguuu... Kesian juga nak angkut dia dalam musim tak menentu ni.. Sebab teruk juga batuknya.


Monday, November 18, 2013

Dapurku.. Ofisku...

Berbunga-bunga hati akak hari ni... Ada taman gitu...

Pertamanya, en abe akak dah selamat kembali dari menunaikan Haji.. Rasa nak sob sob bila tengok kegembiraan Fawwaz tadi... Masa abinya peluk dia ketat2, keluar dari mulutnya "Fawwaz happy..". Memanglah dia happy sangat sampai tak boleh control... duk riuh pot pet2 je sepanjang tengahari. Abi pulak dah tak tahan mengantuk sebab landing kat KLIA lebih pukul 10 malam... lepastu kena tidur kat bangku airport je (bajet nak lepak lounge MAS, rupanya utk domestic tutup).. pukul 8 lebih baru sampai airport sini. Maka, dibiarkan Fawwaz potpet2 kat sebelah tu dan dia tidur tak sedar diri... Jadi, tadi akak pi kenduri rumah sebelah pun sensorang je.. lembut2 cakap kat tuan rumah "baru je sampai, dia tidur.. ". Dah lepas Asar, baru abe pegi ke rumah tu.. mujur la kann.. kikiki!

Kedua, bila pergi ke rumah comel kami, tengok kabinet dah 90% siap. Tinggal nak touch up wardrobe dan kabinet lounge tu. Hat office akak (dapur lerrr..) dah siap sepenuhnya. Kabinet hijo akak.. yayyy!!! Simple je, tapi cukuplah untuk akak. Cabarannya nanti nak buat ianya sentiasa kemas dan cantik. Sebab akak ni selalunya clumsy lagi tak reti nak simpan barang... huhuhu! Tapi, suka tengok benda kemas. Alasan selalu bagi kat abe, orang rajin masak memang dapurnya susah nak kemas... :P

 Lime Green... suka color ni. Semoga oven tu mampu menggembirakan hatiku..

Saturday, October 12, 2013

Lanskap Akak... baru nak belajar

Akak mengumpul dan menjimatkan tenaga untuk aktiviti baking & deko kek rainbow esok... Sambil mencari2 ilham utk pelbagai perkara..

Alangkah seronoknya kalau dapat jalan-jalan cuci mata kat kedai langsir ke, kedai jual aksesori rumah ke.. Banyak nak dibeli sebenarnya. Tapi pergerakan terbatas sikit. Saya dah terbiasa mencari barang tanpa membawa Fawwaz, melainkan kalau abi dia ada. Walau dia dah OK sangat2 sekarang ni, saya masih phobia agaknya... :)

Takpelah... ada peluang nanti kenalah buat juga. Penyakit akak ni suka bertangguh. Entah bila nak insapnyee... huhuhu!

Status terkini....

Drive way ni guna coloured cement je.. color merah.
Pemandangan depan tu ialah kebun getah dan sebelahnya pula ialah dusun durian.. :D

Pintu masuk... custom made. Abe yang design dgn meniru pintu orang.. hihi!
Boleh intai akak kat dalam ikut glasses tu.. :D

Inilah aktiviti baru akak... menanam rumput di celah2 slabs. Belum habis kerja..
Tempat ni adalah ruang menyidai pakaian..

Bersebelahan slabs tu... Masih dalam kawasan menyidai.
Rumput cow grass abe tanam sendiri.. dah banyak tumbuh

Thursday, October 3, 2013

Cerita Dapur Baru... Yuhuu

Tak puas berangan...


Semalam akhirnya terlerai sudah dilema dapur 3 serangkai iaitu hood, hob dan oven. Setelah berbulan menyiasat dan berangan. Dari kedai ke kedai, website ke website, katalog ke katalog... Tapi yang sebenarnya akak dah terpengaruh dengan iklan di Anjung Seri. Itupun majalah lama. Jenama Rubine. Ala2 jenama Itali gitu.. hahaha! Akak suka design dia. Yang penting oben tu haa.. Hari tu akak dan abe dah tergelak kat satu kedai sebab akak sebut "rubain". Lepas tu salesgirl tu betulkan sebutan "rubini". Alaa... macam "lu bini...wa!".. ahaks! merapu sudah...

Lepas tu teringat masa kiterang baru2 duduk di Singapore. Tempat kami Pasir Ris tu berdekatan dengan Tampines. Kami sebut "tampains". Alaa... kan macam tampin N9 kennn. Rupanya sebutan dia "tempenis". Kikiki..

Berbalik kisah dapur, 2 hari sebelum membeli tu akak sungguh dilema. Akak cari jenama ikut bajet je. Masa mula2 survey terutama kat homedec, memang terpikat kat Rubine. Tapi hujung2 cerita susah pula nak cari kedai yang jualnya. Akak rasa nak Fotile, tapi out of budget lak. Lepas tu banyak kedai pula yang cadangkan Leben. Dah terpengaruh. Tapi oven ngan hood tak berapa nak stylo. Nampak Cornell. Cantik dan canggih juga. Tapi salesman tak cukup meyakinkan. Elba, terbaca forum kata cepat rosak. Lepas tu balik ke Leben sebab terbaca satu chef kata oven dia elok. Maklum, teknologi Jerman. 

Tapi, terakhir pergi ke satu kedai di Kg Kelubi tu, yang semua produk ada, salesgirl tu buat akak tukar mood. Bila satu2 benda dia rasa tak mau jual, terus dia buruk2 kan produk tu. Contoh, alih2 cakap orang komplen la, made in china la, itu barang lama laa.. So, abe kata takpe. Balik fikir dulu walau masa tak banyak. 

Nak jadi rejeki, esoknya abe pergi satu kedai lain sebab nak cari toilet bowls dan sink. Ini kes last minute la jugak sebab kontraktor dah nak pasang.. ngeee. Kedai tu jual Rubine. Price cantik, rupa pun cantik. Terus dia ajak akak datang tengok. Terus akak setuju. Esoknya terus abe bayar... Yayyyyy!!! Terima kasihlah wahai suami ku! Sebab dapur tulah sumber inspirasi isterimu nanti. Nak tau elok ke tidak, nyesal ke tidak, pakai je lah dulu ye..

Apa2 pun dapur tu belumlah terpasang lagi. Masih simpan di kedai. Sebab kabinet adalah antara perkara terakhir utk pasang supaya tak rosak, tak hilang dsb. Mungkin masa abe dah kat Mekah nanti, baru orang tu datang pasang. Set dapur pulak selepas tu, bila abe dah balik.

Nak beli hood perkara utama akak tengok selain design ialah suction power. Kena lebih 1000m3/hr. Takle nanti rumah comel akak bau ikan goreng.. :P
Untuk dapur pula akak tengok api besar mana.. Satu lagi yang penting ialah safety device.

Ohhh... tak sabar nak baking kat oben baru. Harap2 yang ni lebih baik atau setanding dengan oben Zanussi akak sekarang ni.

Lepas ni nak fikir peti sejuk pula... Targetnya ialah jenama Mitsubishi. Sebab dia je yang jual peti sejuk color putih. Hahaha... bukan nak cari yang jimat elektrik ka, teknologi inverter ka, anti bakteria ka... tumpuan utama ialah warna. Sebab nak sesuaikan dengan kabinet dapur berwarna lime green dan dinding tile dapur yang putih tu.

Edited : 
Gambar sesudah kejadian... gambar kejadian terkini tak payah... hahaha. Dah jadi tongkang tak berapa nk karam.. :P

Updated 2/8/2016:
1. Dapur tu sebenarnya pakai bateri saiz macam torchlight besar pakai tu. Tu sebab setahun lebih pakai, pengetik tu tak berfungsi dan terpaksa pakai tembak gas kalau nak nyalakan. Rupanya, ilmu tak sampai sebab yang pasang dulu kontraktor lain. Bila dah jumpa semula dengan toke kedai, barulah dia cakap.. ayoooo. Sekarang dah tukar, back to normal..
2. Api yang merah tu pulak sebenarnya boleh di 'adjust' dari bawah dapur. Bila technician datang, baru dia cakap dan adjustkan. Sekarang cantik membiru semula..
3. Oven pula pakai PC.. Beberapa bulan lepas rosak benda tu. Terpaksa tukar baru benda PC tu yang berharga RM371 tak termasuk service charge dan mileage..

Macam tu lah ceritanya... hurmmm.

Wednesday, September 25, 2013

Mini Laundry Room

Semalam Ah Chai, pemasang tiles dah siapkan ruang laundry yang comel juga tu. Tukang cat pun siapkan kerja mengecat di kawasan tu dengan warna biru lembut. Saya suka ruang tu sebab nampak cool dengan padanan cat dan tiles berwarna kebiruan juga. Ruang tu akan menempatkan mesin basuh dan ironing board. Saya boleh buat kerja menggosok baju sambil meninjau2 jalan dan bukit di depan tu. Bukan meninjau pekerja Indon yg tengah buat projek rumah Iris di depan tu ye. Iris ialah nama fasa terbaru di Taman Tunku Sarina ni. Fasa kami pula bernama Alyssa. Macam fasa rumah yang kami sewa sekarang ni namanya Atira. Semua nama wanita macam kat drama TV je... hehe.

Ruang kecil macam kotak tu akan kami gunakan sebagai store kecil untuk menyimpan barang. Harap2 dengan ruangan terhad boleh kurangkan barang yang tak perlu dalam rumah nanti.. 

Warna tak jelas sebab pakai kamera tab je..

Dengan ini bermakna kerja-kerja tiling di dalam rumah dah siap sepenuhnya. Kagum dengan kerja tangan Ah Chai yang sangat kemas dan teliti tu. Memang lambat sikit, tapi puas hati. Hari ni Ah Chai memulakan kerja tiling di kawasan parking dan driveway pula, kemudian baru simen berwarna boleh diletak. Ada 5 hari je mereka2 ni kena siapkan kerja-kerja ni sebelum abe dapat berehat untuk ke Tanah Suci.

Ah Chai... :D

Friday, September 20, 2013

Latest Progress 1

Semakin hari semakin mengujakan bila rumah comel akak dah macam nak siap. Tinggal tiling sikit di bahagian laundry & ironing. Hari ni kalau pekerja tak cuti, mungkin nak siapkan kawasan driveway & parking dan tanah keliling rumah nak diratakan. Lepas tu kena betulkan cat bahagian bawah dinding luar dengan warna lebih gelap. Touch up porch yang satu lagi dengan coloured cement. Kitchen cabinet & cabinet depan... TNB, air, TM line, sink, toilet bowl, pintu, grill.... ehhh!! banyak lagi rupenyeee.... hahaha!! Belum kira nak bongkok2 cuci rumah, buat langsir, blind.. :P


Laluan masuk ke dalam - OKU friendly 

 Bakal tempat lepak - porch 1

 Porch 2

Ruang dapur comelku

Terima kasih kepada Darulaman Realty.. sebab memperbaiki tasik ni yang memberi ketenangan..


Tuesday, September 17, 2013

Petua Masuk Rumah Baru

Petua ni saya ambil kalau tak silap dari facebook. Saya tak ingat sumbernya sebab saya terus copy and paste ke word dan baru jumpa kejap tadi. Jadi, kalau empunya tulisan terbaca ni, saya minta izin. Saya letak sini supaya mudah bila nak masuk rumah baru nanti. Tak payah nak tercari-cari lagi kat mana simpan. Maklum lah, akak ni memori pun dah tak kuat.. huhu!

************************************************************

Petua Masuk Rumah Baru

Azan 
Laungkan azan ketika pertama kali masuk rumah baru. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. pernah memberitahu bahawa sekiranya ses...ebuah bangunan itu terlalu lama dikosongkan (tanpa penghuni) ianya akan dimasuki sejenis makhluk halus (jin yg dikenali sbgai Al-'Ammar) yang suka tinggal di rumah atau bangunan yang tidak berpenghuni.

Baca Surah Al-Baqarah
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasululuuah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "janganlah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya untuk tidur), sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah Al-Baqarah."

Banyakkan Solat dan Membaca Al-Quran 
Dalam sebuah hadis lain pula, Rasulullah s.a.w. juga menggalakkan agar kita memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran di dalam rumah atau bangunan yang baru diduduki. Baginda bersabda yang bermaksud: "Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran." (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Baca Surah Yassin, Al-Fatihah dan Al-Ikhlas 
Amalkan membaca surah Yassin setiap malam terutamanya tujuh malam pertama anda menduduki rumah atau bangunan. Baca juga surah Al-Fatihah sebanyak 1 kali, surah Al-Ikhlas 3 kali, selawat ke atas Nabi sebanyak 7 kali, ayat Kursi 1 kali, tetapi di ayat terakhir bacalah sebanyak 7 kali.

Monday, September 16, 2013

Rumah Dah Nak Siap... ^.^

Alhamdulillah... rumah kami dah hampir siap. Nak kena speed up sikit sebelum abe pergi ke Tanah Suci 9 October nanti. Setakat hari ni tiling dah hampir siap dan kerja-kerja mengecat sedang berjalan. Adalah sikit kerja berulang-kali kena buat sebab warna di katalog tak seperti yang digambarkan. Dari nak cat sedikit kehijauan, terus tak jadi sebab agak pekat bila dah kat dinding.. Memandangkan bilik pilihan akak terlalu ketara pink nya, maka tukarlah cat bahagian luar (lounge & dining) sama warna dengan home office. Warna dogwood yang sedikit earthy.

************************************
Progress...
 

Finishing... porch, bilik, toilet, home office, arch...

Konsep rumah ni ialah OKU friendly dan tidak mahu terlalu menarik perhatian dari luar melalui design yang simple.

In shaa Allah, bulan 12 nanti kalau semuanya lancar, kami akan berpindah ke sini.. :)

Wednesday, July 3, 2013

MARA dan Aku... Hutang

Alhamdulillah syukur... akhirnya saya bebas dari belenggu hutang MARA!! Bukan hutang apa.. Pinjaman pelajaran masa buat post graduate. Hari ni saya berjaya menjelaskan kesemua baki tanpa perlu tunggu jadual terakhir 2015 nanti. Lama kan... Dari 2003 ke 2015 untuk pinjaman belasan ribu. Yang saya suka pada MARA ni ialah jadual pemulangan wang yang tidak terlalu membebankan. Pembayaran bermula hanyalah selepas setahun peminjam habis belajar dengan permulaan bayaran sebanyak RM50 untuk 2 tahun. Lepas tu baru naik sedikit demi sedikit. Agak2 masa tu peminjam dah establised dalam karier masing2. Taklah macam akak yang terus bersara ni... huhuhu!!!

Sentiasa tanamkan dalam hati untuk membayar hutang pelajaran. Walau rasa kerajaan dah kaya untuk tanggung pelajaran kita. Pinjaman yang takda interest mahupun service charge. Apa lagi nak dikeluhkan. Sedangkan gaji masing2 dah tinggi, mampu pakai kereta import yang hebat lagi. Kenapa tak dulukan bayar hutang? Tapi, memang apa jua bentuk pinjaman wang ni agak berat untuk diselesaikan. Kalau tak tanam niat betul2 bersama disiplin. Dan sebenarnya ada cara untuk kita tak membayarnya. Dengan menjadi pelajar cemerlang. Kalau tak 4 flat, sekurang2nya DL selalu. InsyaAllah dapatlah.. Kalau tidak, jangan nak mengeluh2 atau mencabar kredibiliti yg bagi pinjam!

Dah selesai dengan MARA, misi seterusnya ialah nak pulihkan nama dekat Celcom. Kes yang dah makan tahun. Puncanya billing sistem yang bercelaru, wang pos yang lesap tak captured by system, billing jalan walau dah disconnected, customer service tak mampu selesaikan, dan macam2 lagilah yang buat ahkak naik hangen tak mau bayar apa yang akak rasa patut bayar. Tapi susah juga kalau forever blacklisted ni. Yang beban ni, nak mencari office celcom kat sini... :(

******************************
Gambar selingan. Pagaq rumah dah naik semalam... Harap2 sebelum abe gi haji boleh siap. Boleh akak berangan2 deko2 bersama Eric (mimpi laa...)  :P



Sunday, May 19, 2013

Progress Baiti Jannati

Progress rumah comel kami setakat ni... Alhamdulillah. Agak cepat progress nya dalam jangkamasa 1 bulan setengah. Bermula dari 1 April lepas... Sehingga semalam, rangka bumbung dah naik. Tapi sebenarnya banyak lagi yang perlu dibuat seperti siapkan bumbung, wiring, plaster dinding,  simen lantai, tiling, porch, pagar, taman... aishhh banyak laaa... hehehe! Target siap dalam perjanjian pun 6-8 bulan. Tapi kalau lagi awal, lagi bagus... Bagusnya kontraktor ni ialah pekerja yang ramai. Ada masa sampai 7 orang dan kebiasaannya 4 orang. Bilangan tu dah cukup la kot untuk saiz rumah yg dibuat..



Tuesday, April 30, 2013

Boleh Tahan Laju..

Alhamdulillah... dah nampak progress rumah comel ku. Memang boleh tahan laju.. Pekerja pun ramai. Dan project owner dah naik risau. Laju2 siap, bimbang kualiti pun tergugat. Beberapa kesilapan dikesan. Pagi ni je, nampak tingkap sudah salah letak. Harus kena ketuk balik. Kadang2 ukuran lantai salah.. Jangan tak tau, owner tu ada banyak masa nak buat quality check. Lagipun deraf layout plan dia yang buat sebelum bagi ke arkitek dan pelukis pelan. Dah hafal setiap dimesion.. Kalau boleh nak standby terus kat site.. Nanti kontraktor dan pekerja stress lak dgn suami ku... hihihi.  Tapi memang kena macam tu lah.. Kalau beli rumah yang dah siap kira senang sikit. Nak fikir, tunggu lepas dapat kunci rumah...

Perkembangan selama hampir 1 bulan... Target siap 4-5 bulan rasanya..



Saturday, April 13, 2013

Hari Untuk Meronda2..

Hari ni ikut abe gi Homedec kat Penang. Punya jauh kan.. Tapi lagi jauh exhibitors tu datangnya... kebanyakan dari KL belaka! Lepas tu, ramai juga yang tak tau di manakah Jitra ini.. hahaha! Lain kali datang, akak nak bawa peta siap-siap. Maka teringat zaman akak duk Bahrain dan beli kereta kat Serdang. Salesman tu ingat Bahrain tu dekat London kot... :D

Jadi, banyaklah benda yang kami tengok dan banyak product knowledge yang kami dapat. Rambang mata dan perasaan dengan tawaran2 yang diberi. Semua diskaun belaka. Up to 50%, siap dapat free gift. Dan akhirnya, kami keluar dengan hanya membawa brochures sahaja hahahaaa... Memang macam tulah. Bertanya bagai nak rak, siap tunjuk floor plan. Tapi akak memang dah anggar set dapur mana yang nak dibeli. Tadi dapat estimation untuk set 3 barang pilihan iaitu hood, hob dan oven 8 functions dari RM2700 - RM3100, dengan 3 jenama. Bukan nak the latest dan high end, cukup dengan function apa yang diperlukan. Safety first. Lepas tu design dan brand apa. Tidaklah pula yang branded sangat. Cukuplah dengan melihat poket abe saya (bukan poket sendiri... :P). Akak pun bukan jenis pendesak. Kalau dia belikan, akak pakai. Kalau tak beli, dapur Zanussi ku itu pun ada lagi.... huhuhu.

So, lepas penat mengelilingi bilik pameran, kami pun solat di sebuah masjid dan lunch di De Pauh Garden yang meriah tu di Seberang Perai. Sedap belaka, cuma kuetiaw goreng akak agak masin. Namun disebabkan lapar, tinggal 2-3 sudu je tak tertelan. Maknanya nak habis jugak la tuu... Lepas tu, kenyangnya membawa ke malam, saat akak menulis ni. Hebat kan... :)


Progress Baiti Jannati...
Haa... esok masuk seminggu sign agreement. Tadi abe cakap dah isi konkrit dalam lubang2 yang ada. Maka kejap lagi concrete base akan siap untuk proses selanjutnya. Next payment pleasee....! Hahaha... jenuhkan tukang buat payment tu. Akak tukang sorak jerrr.... ;)   Dalam waktu yang sama, IWK pun nak buat jalan laluan lori maintenance dia betul2 tepi pagar kami tapi abe dah suruh hold dulu. Baru berangan nak tanam pokok kelapa ngan ubi kat situ... Apakan daya, tanah rezab belaka.. hehehe.

kali ni tunjuk gambar Pua Chu Kang pulak... hehehh


Tuesday, April 9, 2013

Alhamdulillah.... Baiti Jannati in the Making


Akhirnya penantian selama lebih 3 bulan berakhir... Menanti kelulusan pihak berwajib untuk pelan rumah akak yang tak sepertinya tu.. Harap2 panjang umur kami untuk merasa tinggal di rumah impian tu.

Tak semudah disangka nak membina rumah di tapak yang sediada di taman perumahan. Dari nak handover hakmilik tanah dari pemaju yang mengambil masa sehingga ke penyediaan pelan dan permohonan kelulusan pihak majlis daerah. Di pihak majlis daerah tidak menjadi masalah katanya. Tapi kerana ia melibatkan semua pihak iaitu TNB, Air, keselamatan, IWK dan lain-lain, itu yang mengambil masa sampai 3 bulan! Mula-mula agak bertenang. Lama-kelamaan kena juga buat panggilan hayat dan berjumpa pihak yang berkenaan. Macam tu lah... Kalau orang tak sabar, boleh jadi bahasa macam2..

Syukur... tinggal nak meneruskan misi je sekarang. Dan sebenarnya, sebelum surat kelulusan diterima, kami dah siap-siap sign agreement dengan kontraktor yang sehari selepas tu terus memulakan persiapan, longgok pasir, batu, aliran elektrik, dan lain-lain. InsyaAllah, hujung tahun nanti berpindah lagi lah akak...

**********************
Hujung nun rumah2 bakal jiran... semi-D & 2 storey bungalow. Tengah meriah dgn renovation sebab baru dapat kunci.. (rumah siap) 

Tasik dan bukit bukau saujana mata memandang


Monday, February 18, 2013

Surveying..

Hari ni, terutama belah pagi agak sibuk. Lepas selesai beberapa tugasan surirumah, akak ikut abe pi jenjalan menyiasat barang dan perkakasan. Seronok jugak, tapi masanya agak singkat. Maklum kedai buka pukul 10 pagi, pukul 12 tgh Cik Mat dah habis sesi sekolah.


Mula2 melawat kedai tiles.. Dah kenalpasti floor tiles apa nak ambik untuk living room, office dan bedroom je. Pastu wall tiles untuk bathroom. Hat kitchen, dining dan lain2 belum lagi tu... Perlu 2-3 sesi lawatan lagi kot untuk seisi rumahtangga. Abe kata, mungkin 10 kali..erk!! Kedai tu pulak bukan jual tiles saja, tapi semua benda pun ada. Naik tingkat atas, tengok pulak lampu.. Ha! Yang ni memang akak suka lah.. Cuma akak berani tunjuk satu lampu je.. untuk dining. Huhuhu! Itupun entah dapat nanti, entah tidak.. Maklum, main tunjuk je. Cuba beli sendiri... hehehe. Pastu ada kipas angin warna merah pulak.. Macam berkenan, agak2 boleh tunjuk ke tidak.. tungguuuu..

Lebih sejam kat situ, kami manfaatkan pula minit2 seterusnya di kedai letrik. Target nak cari petisejuk baru untuk ganti petisejuk bujang akak tu. Express la jugak. Masuk 2 kedai.. Tiap kedai ada favor sendiri. Yang pertama, promote Hitachi. Yang kedua pulak, promote LG. Tadi petang abe gi ke 2 kedai lagi.. Promote LG dan Samsung pulak. Kak tak kisah.. Janji kak tak minat yang banyak segi macam Hitachi tu.. Kalau boleh nak yang betul2 tajam seginya.. Warna pertujuan bersama iaitu putih, dah takde di pasaran. Tak laku kot... Akak nak hitam, abe tak suka. Jadi kena yang silver la jugak.. Tinggal nak pilih jenama je. Janji makanan aku tak basi dalam peti sudah... Senang je akak ni. Walau sebenarnya cerewet la jugak! Takpe, esok nak pi sendiri kedai Senheng. Punyalah payah nak pilih petisejuk kannn.... :P

Sebenarnya, apa jua barang yang nak dibeli sekarang kena match dengan konsep bakal rumah kami nanti. Terutama dapur merangkap opis akak. Padahal, tapak pun belum dirata.. hehe! Bulan depan baru officially handover tanah dari developer ke empunya. Pastu, tunggu plan keluar dari bilik Majlis Kubang Pasu. Sebelum mula, nak kena pastikan developer korek dulu tasik yang dah tercemar sikit tu. Lepas tu nak kena tunggu kontraktor balik dari umrah pulak.. Maknanya, selepas 21 Mac baru boleh mula...

Dalam tasik tu banyak ikan lampam. Sekarang, akak tengah study macamana resipi buat umpan ikan. Kot2 nanti dari baking, akak tukar hobi ke memancing di tepi rumah kihkih...

Lepas ni nak survey tiles untuk lantai untuk bahagian yang lain pula. Pastu fikir cat dan kemasan dinding, perabot, kitchen appliances, siling, porch, pagaq, lampu, sinki, tap, apa lagi? apalagi?? Bior abe ku yg fikir.. Akak buatkan je air nescafe panas... :P