La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minaz zolimin..
Umi terlalu emosi dengan anak syurga yang satu. Sangat menguji iman. Sangat menguji kesabaran di kebelakangan ini. Sehingga adakala rasa nak menjerit melepaskan tension! Ada ketika sempat meninggi suara tapi cepat-cepat kawal diri dan keluar dari perasaan marah. Kenapa nak marahkan budak yang pastinya istimewa, yang takkan faham perasaan orang dewasa? Yang dilabel anak syurga?
Sedari awal pagi, bangun tidur, buka mata tekanan dah mendatang. Dah riuh seisi rumah. Didesak-desak umi untuk buat itu dan ini mengikut kehendaknya. Biasanya jam belum lagi menunjukkan pukul 5 pagi, si tuah dah bangun dulu. Tidurnya memang sedikit. Pukul 5.30 mesti keluar ke ruang tamu. 5.45 mesti mandi. Diikuti yang seterusnya, mesti on time ikut jadual dan jam. Deretan MESTI juga disepanjang siang sebelum dan sesudah pulang dari sekolah, mahupun hari cuti, termasuklah mesti cabut rumput pada pukul 5 petang dan mesti masuk rumah pada pukul 6 petang! Mesti mandi sejurus moto oren lalu antara pukul 5.45-6.30 petang. Solat, mengaji, makan malam, membaca, tidur mesti ikut jam yang tepat.
Alahai anak.. umi ni terkejar-kejar saja bila menjelang maghrib. Nak beribadah dengan tenang pun payah. Dah pegang Quran pun kadang tak jadi nak mengaji sebab terlalu stress dengan perkara sebegitu saban hari. Malam ni keluar juga airmata umi yang selama ini disimpan. Akhirnya cas negatif masuk ke badan hingga rasa sangat keletihan. Lega sikit bila umi tiba-tiba rasa nak menulis di sini.
Sepatutnya umi dah hadam dengan jadual ketat ala tentera begini dan jeritan-jeritan keras Fawwaz. Tapi makin lama makin tak mampu. Desakan suruh buat itu dan ini umpama arahan jeneral. Nak ditegur langsung tak boleh, nanti makin menjadi-jari ragamnya. Lagi-lagi takut menjadi kemarahan yang memuncak pada diri umi. Paling umi tak tahan, setiap kali nak mulakan sesi baca Quran, masa tulah anak beranak macam nak bergaduh. Sudahnya hilang mood. Sudahnya umi keluar dari ruang tersebut supaya tak jadi marah.
Astaghfirullah... mungkin hati ini semakin mati?
Kehidupan terkini betul-betul mencabar. Semenjak 'moto oren' menjadi sebutan dan mainan mulut Fawwaz.
Siapakah MOTO OREN?
Seorang lelaki muda yang ke hulu dan ke hilir menaiki motosikal berwarna oren dan menjerit-jerit minta pinjam beras dengan skrip filem Alibaba setiap kali lalu di jalan kecil di sebalik pagar rumah kami. Tak pasti berapa kali dalam sehari, tapi memang kerap. Saya fikir mungkin dia juga tidak normal. Tapi saya marah bila orang kata dia bodoh kerana merapu begitu.
Fawwaz takut.. tak suka.. phobia.. mungkin trauma. Mungkin pada suatu hari dia terperanjat dengan jeritan itu sewaktu sendirian bermain di luar. Sebab sebelum ini dia elok sahaja baik di dalam atau di luar rumah. Setakat takutkan 'monster' tak ketara sangat peliknya.
Moto oren menyebabkan dia phobia pada bunyi enjin terutama motosikal. Semua disangkakan bunyi moto oren yang lalu. Bunyi mesin basuh pun kadangkala disangka bunyi motosikal. Tingkahlakunya nampak sangat tidak tenang. Menutup telinga, mengintai-ngintai keluar dan macam-macam. Nak tidur, makan, mandi, main semua dalam keadaan kelam kabut. Kasihan sangat. Umi yang dapat tempias huru hara tu. Sudah pastilah..
Kasihan tapi umi buntu. Buntu kerana terpaksa berfikir sendiri. Nak fikir solusi sendiri. Umi rasa tak mampu sebab umi pun dah tak kuat. Nak mengadu, nak cari kekuatan tapi tak dapat. Nak berbincang tak dilayan. Mengadu pada Allah saja yang umi mampu. Memang itulah yang sepatutnya kan. Sampai bila keadaan huru hari ni, umi pasrah je.