Pages

Saturday, July 20, 2013

Terkadang Memang Kita Cuai..

Rasa sedih teramat bila membaca kisah anak yang menemui ajal di dalam kereta akibat kecuaian ibunya.. Sebenarnya saya tak sanggup nak mengatakan si ibu cuai, cuma tak jumpa perkataan yang lain. Sebagai ibu, saya tak dapat nak bayangkan perasaan ibu itu. Beratnya ujian buat dia. Berat mata kita memandang, berat lagi bahu memikul. Yang pastinya, seumur hidup tak mungkin mampu peristiwa itu dilupakan.

Wahai ibu2 yang lain dan masyarakat semua.. Janganlah kita beratkan lagi perasaan ibu itu dengan pelbagai tuduhan dan kata nista. Berdoalah untuk diri sendiri dan ibu-ibu lain agar peristiwa sebegitu tak berlaku pada kita. Kerana perancangan Allah itu adalah suatu yg misteri. Bagaimana kita cermat dan berhati-hati, ada ketika kita akan alpa.. terlupa.. tercuai. Tanpa kita sedar. Tanpa kita merancang.

Pastinya si anak akan jadi ahli syurga. Bakal menanti ibunya di sana..

Saya mula memandang kepada rekod diri sendiri. Menjaga anak yang seorang. Sering tanpa bantuan sedari dia masih bayi. Melalui zaman2 dia kuat meragam. Menguji tahap sabar ibu yang sedari azalinya kurang penyabar. Astaghfirullah.. hanya istighfar yang sering saya ucapkan. Adakala syaitan berjaya membisikkan kata-kata jahat. Membuat saya bertindak di luar batas ibu penyayang. Padahal dalam diri ini tiada lain melainkan anak yang sentiasa didahulukan.

Saya pernah tinggalkan dia sendiri di dalam kereta waktu membeli barang. Juga waktu ke tandas di RnR juga airport. Saya tinggalkan dia sendiri di apartment untuk keluar membeli barang atau makanan. Juga untuk menghantar pesanan. Sebabnya kerana dia meragam dan tak mahu keluar kereta atau rumah. Saya sedar itu bukan lagi kecuaian tapi mungkin lebih dari itu. Tapi kerana tiada orang lain untuk bergantung harap, kadangkala saya terpaksa. Saya pastikan dulu yang dia akan selamat. Kereta dikunci dan diberi ruang udara. Rumah juga dalam keadaan selamat. Waktu itu ada pengawal dan sistem keselamatan apartment yang ketat. Kemudian, saya berdoa sehabis2nya kepada Allah supaya melindungi anak saya. Saya tawakkal. Saya yakin, Allah sangat kasihan kepada saya yang sering mengurus rumahtangga sendirian. Alhamdulillah, kisah itu sudah berlalu. Keadaan kini adalah lebih baik.

Kini tiba saya ke tahap comfort zone. Si anak sudah boleh bertoleransi. Sudah mudah diurus. Tidurnya sudah tenang dan saya pun dapat menikmati tidur yang lena sepanjang malam. Namun, ujian itu belum putus. Masalah lain pula timbul. Dan saya baru hendak memulakan semula langkah yang pernah terhenti. Saya redha dengan segala ujian ini. Saya tahu Allah sayangkan saya. Seperti apa yang berlaku kepada ibu Allahyarham Iris, tidak semua orang akan faham situasi yang kita lalui. Kerana kita tidak berada di tempat yang sama...

No comments:

Post a Comment