Kad2 pendaftaran hospital/pakar
Macam biasa, parkir di hospital mana-mana pun sentiasa penuh. Tapi, Alhamdulillah, adalah juga ruang untuk kami. Kena ganas sikit nak tekan2 pedal minyak tu untuk mendaki divider. Masa sampai di kaunter, kamilah orang yang pertama.
Sesi pemulihan dengan pegawainya sangat menarik seperti yang saya jangka. Berdasarkan pengalaman di Hospital Ampang dulu, yang walau cuma sekali pergi. Awal-awal, saya beritahu pegawai tu yang Fawwaz ni English speaking. Jadi, adalah juga interaksi 2 hala bila sama-sama bercakap dalam bahasa yang sama.
Sementara umi kena jawab beberapa soalan, Fawwaz diberikan puzzle mudah angry bird untuk diselesaikan. Dan dia dengan tekun menyiapkan. Lepas tu kena warnakan shapes pulak. Demi tengok cara Fawwaz pegang pensil, pegawai tu tau kelemahan Fawwaz.
Bila teacher (panggilan utk pegawai tu..) sentuh jari dan tangan dia, cepat-cepat Fawwaz tarik tangan. Jadi, penilaian pertama ialah Fawwaz mempunyai masalah sensory. Sebab tu dia tak suka benda yang lekit, lembab dan yg sewaktu macam nasi, termasuklah pensil. Memang betul cakap dia... Fawwaz tak akan pegang apa-apa yang basah dan melekit. Dia tak akan makan kalau tak guna sudu atau garpu atau dibalut dan mengenai tangan. Kadang2 makan burger pun kami mak pak dia ni yang kena pegangkan. Dia macam raja je..
Lepas buat puzzle dan mewarna, teacher ambil berus yang lembut. Macam berus basuh baju tu.. Teacher berus keseluruhan badan Fawwaz untuk memperbaiki tahap sensory nya. Dan kami dibekalkan berus tu masa habis sesi untuk homework umi.. :)
Kemudian sesi naik buai yang lebar, cukup selesa untuk Fawwaz bersila. Yang ini Fawwaz tak suka.. I don't want swimming (swinging)..!! Sesi swinging untuk 15 minit agak menyeksakan Fawwaz. Dia pegang kuat tali tu tak lepas2 tapi tak pulak nak terjun turun. Maknanya takut la tu.. Mulut pulak tak henti-henti bercakap yang dia tak mau! Put me down!! Put me down!! Dah minit ke 15, baru dia berani terjun...
Akhir sekali ialah sesi wrap (bungkus). Kena bungkus Fawwaz ketat-ketat. Paling tough untuk hari ini dan dia menjerit-jerit menangis sampai mak pun nak nanges sama. Berusaha dia melawan dan memang terkeluar le tangan semua dari wrapper tu. Masa ni kami buat bertiga. Ada sorang lagi pegawai yang join untuk tunjukkan flash card alphabet kepada Fawwaz. Memang dia tak jawab punya dan tak pandang melainkan NO! NO! Memang ini senario biasa menurut kata pegawai2 tu yang berkaitan dengan emosi, perilaku dan eye contact.
Jadi, lepas ni umi nak kena wrap juga kat rumah, setiap hari sambil mengurut2 kepalanya.. Sikap inilah yang menjadi penyebab kepada kesukarannya gosok gigi, gunting rambut, dan sebagainya. Kalau ini boleh diperbaiki, InsyaAllah pulih lah dia. Dan pegawai tu kata, lebih elok kalau campurkan Fawwaz dengan pelajar-pelajar normal sebab dia sebenarnya pandai. Apa-apa pun, mak ni masih belum boleh buat keputusan... Tengok kata pakarnya pula pada 26/8 nanti. Hat pakar ni lokasinya di Hospital Jitra pula. Makan tadi, lepas ke HSB, pergi ke Hospital Jitra pula untuk appointment dan pendaftaran baru. Huhuhu... macam nilah. Memang kena mental dan fizikal yang kuat.
Sebelum ke Hospital Jitra, saya sempat mencari lokasi NASOM iaitu National Autism Society of Malaysia. Letaknya tak jauh dari kawasan Al Bukhary tu. Jadi senang lah saya cari sebab agak biasa lalu lalang di situ. Mencari info di situ. Cawangan NASOM ni hanya menerima pelajar yang telah mendapat pengesahan doktor sahaja. Kalau nak dia yang buat diagnostik, kena pergi ke HQ di PJ. Di NASOM Alor Star ni kelas ada 2 sesi iaitu pagi (8 - 12) dan petang (tak ingat...). Untuk satu sesi, yurannya ialah RM300 sebulan. Murid yang ada pula ialah seramai 36 (akan ada pertambahan 3 orang nanti) dengan guru seramai 11 orang. Murid yang diterima dari 2 tahun ke 22 tahun dengan pelbagai bentuk pengajaran mengikut kesesuaian.
Alhamdulillah... hari ni dapat buat 3 perkara penting untuk Fawwaz. Sampai rumah pun dekat pukul 12, dah macam pergi sekolah je. Dan upah untuk budak yang baik mengikut arahan ialah PASTA! Creamy carbonara spaghetti Pizza Hut favourite Fawwaz.
Petang ni, umi tengok Fawwaz pegang semula doodle board yang dah dilupakan sejak cuti sekolah dulu (bukan yg raya lepas ni). Lukis gambar rumah, siap dengan serombong asapnya... :D
Siri temujanji Fawwaz... Kalau tak tulis, takut lupa