Pages

Wednesday, October 30, 2013

Oh Fawwaz...


Agak berdebar tengahari tadi masa menjemput Fawwaz di sekolah. Kebiasaannya dia akan berlegar-legar di dalam kelas berdekatan mejanya. Tapi tadi saya tak nampak pula kelibat dia dalam kelas. Cikgu tengah sibuk menguruskan murid-murid yang menaiki van. Kawan-kawannya pun sama tercari2. "Fawwaz tak ada...".

Mak ni mulalah cuak. Cari ke belakang kelas tak ada. Tapi kasutnya masih ada di depan kelas. Cikgu pulak tanya kat saya "kasutnya ada?"..  

Takkan sekelip mata cikgu urus kawan-kawan, Fawwaz boleh hilangkan diri? Persoalan ini masih bermain di fikiran sampai saat ini. Tapi saya tak mau bising. Cerita di sini sajalah... Lagipun petang tadi saya sibuk dengan kek.

Kami mencari pula dalam tandas. Cikgu jumpa di tandas lelaki. Saya pun masuk ke situ dan dia ada di dalam tandas pertama. Pintunya ditutup. Bila mak ni buka, dia tengah berdiri dalam keadaan seluar yang basah. Tandas yang kotor tu pun dia dah tak kisah nak duduk. Tak berkasut dan hanya bersetokin. Semua basah. Dia tak mau keluar dari situ dan entah apa yang cuba dicakapkan. Duk sebut box.. box.

Cikgu bagi seluar bersih kalau dia nak salin. Tapi tak guna pun sebab saya berjaya pujuk dia keluar. Pakaikan kasut, dan angkat keluar dari situ. 

Bila dah nak masuk kereta saya tanya "Fawwaz kencing kat seluar ke?"
"Yes.." jawabnya. Tapi lepas tu entah apa yang nak disampaikan bila mak tanya itu ini.

Ini adalah pertama kali Fawwaz terkencing dalam seluar di sekolah. Tetap menjadi persoalan di benak fikiran, sejak pukul berapa dia dalam keadaan yang macam tu di dalam tandas. Sebabnya, bila sampai di rumah dan buka stokinnya, naik pucat kaki tu. Macam dah basah lama... Kesiannya. Tapi tak hancing pula. Atau mungkin dia cuba mencuci guna paip tu tapi terlebih press.

Kalau kawan-kawan lain semua dah pandai ke tandas sendiri. Tak pastilah mereka mencucinya ke tidak. Tapi tak perlukan bantuan pun. Nak ke tandas sarung selipar yang disediakan. Fawwaz mungkin belum sampai tahap tu. Atau mungkin mak ni terlalu menjaga kebersihan dia membuat dia tak yakin nak buat sendiri. Yelah, kadang di rumah tu memang mak selalu suruh cuba basuh sendiri. Tapi selalu juga bimbang dia tak cuci bersih dan bawa najis merata-rata.

Apa-apa pun, pengajaran hari ni, mak kena rajin-rajin latih Fawwaz. Cikgu kena alert kalau budak-budak lama menghilang. Tadi masa baru mencari, mak ni mula nak fikir bukan-bukan. Tapi belum sampai tahap pucat muka. Ni kalau cerita kat Abi, mesti dia suruh siasat. Sabar jelah.. Tinggal 2 minggu je lagi di situ.. 

Harapan mak, semoga Fawwaz semakin petah berbicara... dan mampu meluahkan perasaan melalui kata-kata. Ya Allah, semoga esok semakin cerah buat kami... Amin.


Tuesday, October 22, 2013

Kembara Anak Syurga Ku

Pagi tadi appointment dengan paed di HSB. Awal juga keluar rumah walau appointment pukul 9. Tapi rupanya kat sini pun boleh tahan jammed nya. Itu pun mak dah buat jalan pintas secara bijak tapi jauh sikit dan parking ala2 pengembaraan Camel di zaman kegemilangannya. Hanya orang sezaman ngan akak tau pengembaraan tu.. hehehe! 

Sampai di hospital, ambil nombor, adalah lebih 30 rasanya sebelum kitorang. Sesi hari ni agak kurang menarik nak diceritakan. Keluar bilik doktor pun rasa blur. Macam kalau kita makan, kenyang, tapi takde perasaan. Tapi Alhamdulillah, doktor tu dah isi borang JKM tu. Settled satu perkara. Tinggal nak submit.

Apa-apa pun, Fawwaz happy hari ni. Selama 6 tahun dia jadi partner memandu dan travel mak. Sekarang dia dah pandai bagi warning bila laju sikit.. "Slowly... it's dangerous". Entah berapa kali dia ingatkan. Terutama bila nak masuk simpang yang berselirat macam urat..

Masa balik dari kampung hari tu, pun dia duk pantau mak dia ni. Bila mak kata "Umi sleepy...", terus dia tepuk-tepuk belakang mak biar jangan ngantuk. Hahaha... pandai betul ye Fawwaz. Wujudnya dia dalam kereta memang membantu jugak dari mengantuk. Sebab banyak juga mengacaunya... huhu!

Tadi saya rasa nak tengok balik gambar dia masa selalu travel dulu. Dalam flight. Kalau rambut botak, tanda balik dari Malaysia. Kalau rambut tebal, dari Bahrain la tu.. Gambar masa KL-Spore-KL takde pulak. Tak sangka saya dapat mengharungi cabaran tu secara berulang-ulang. Tak usah cakap kalau dia menangis dengan mata pejam dan situasi tak selesa. Masa tu kalau dah ada lagu Awi Rafael tu, agaknya mak nyanyi lagu "kalau aku kaya... pasti beli tiket 1st class saja..". Tapi abi, kalau tak balik dengan kiterang, mesti dapat upgrade tiket selalu.. Sungguh tak aci! 


Kalau kat darat pulak, selalu buat kereta macam rumah...

Yang bawah ni kisah petang tadi. Tak pernah2 tidur petang, hari ni Fawwaz tidur pulak. Agaknya penat sepagi di hospital dan cuaca sejuk pulak... hujan. Bangun tidur, dia marah sebab kat TV takde postman Pat yang dia tergila-gila tengok balik. Sebabnya musim hujan ni, Astro asyik buat hal. Berapa kali rewind entah postman pat tu. Tadi masa dia tidur, mak buka cerita Filipina kat TV3 tu. Best la pulak. Potong stim betul la Fawwaz. Mujur dapat tengok sampai habis. Tapi dia mengamuk la.. Sakit mak kena tumbuk-tumbuk. Inilah nasibku.. Sejak tau dia autism, kuranglah sikit mak melawan hehehe. Mainkan emosi je..

Bila dah agak reda, dia ajak naik atas pastu naik atas tilam. Mak tanya nak wrap ke? Dia angguk.. Tu yang jadi macam gambar ni.. berbedung. Lama juga dia nak bedung, tak bagi buka. Mak pun pasang Asmaul Husna.. lepastu Yaasin. Tak kiralah surah apa, janji Al Quran. Nampak dia tenang lepas tu. Bila dah keluar bedung, happy balik. Simpan sendiri selimut tu kat tempatnya. Itulah antara terapi yang berkesan setakat ni untuk budak tantrum. Dulu-dulu masa dia betul-betul di alam tantrum, tak dapat lagi ilmu ni. Mak cuma mandikan atau jirus dia dengan air. Baca-bacalah apa yang patut. Kan api lawannya air.. :D


Monday, October 21, 2013

Phobia Fawwaz

Hari ni Fawwaz cuti lagi. Sebab dia tak dapat nak ikut rombongan ke muzium padi & taman sains tu. Asalnya mak macam nak beri, tapi memandangkan ada percampuran dengan murid-murid tahun 1 dan 4, rasa kurang yakin pula. Cikgu pun cadangkan Fawwaz tak pergi. Kalau setakat murid-murid Pra memang mak bagi pergi. Tahun lepas masa di Kasyiful Ulum pun banyak kali Fawwaz ikut rombongan.. Seronok dia naik bas. Pergi majlis Maulidurrasul di Masjid Wilayah, sukan KU seluruh Wilayah dan ke kilang coklat dan aiskrim. Memang dia seronok sangat. Tapi apakan daya, takde rezeki untuk jalan-jalan dengan kawan-kawan dan cikgu tahun ni..

Bila bercampur dengan kanak-kanak yang tak biasa dengannya, terutama yang nampak lebih muda atau baby, Fawwaz boleh menjadi pasif atau ketakutan. Apatah lagi kalau nampak kanak-kanak yang aktif. Macam tadi, saya bawa dia ke pasaraya. Dari ceria, tiba-tiba dia macam ketakutan dan menyorok di sebalik rak-rak barang. Rupa-rupanya ada infant yang sedang dikendong oleh bapanya. Itu pun dia boleh ketakutan sangat. Keluarga tu pulak agak lambat nak berlalu selepas selesai membayar dan duk berlegar-legar kat depan tu. Terpaksa kami tukar haluan sebab Fawwaz dah buat muka cuak.

Kalau gitu gayanya memang susah sikit nak keluar ke mana-mana. Ikutkan dia dah OK sekarang ni berbanding dulu. Mudah diajak keluar. Cuma kalau terserempak dengan golongan macam di atas tu la datang problem nya. Dia akan ubah haluan serta-merta. Lately, banyak pulak cuti sekolah. Jadi, mak kena diam-diam duduk rumah dan buat aktiviti lain. Sebenarnya ada je yang patut dibuat. Mood je tak datang2. Mood sekarang nak mencari langsir yang menepati citarasa. Lepas tu nak cari mesin jahit kecik untuk repair apa yang patut. Nak cari bahan terapi Fawwaz. Nak settle persekolahan dia. Semua tak terbuat lagi.

Harap-harap sebelum abe balik adalah yang beres sikit. Idokle teman kena perli nanti..huhu!


Sunday, October 20, 2013

Rambut Fawwaz..

Perasaan masih segar lepas balik dari kampung semalam. Dari hari Selasa (raya pertama) hingga pagi Sabtu. Boleh tahan lama juga.. walau belum puas meronda. Kalau balik kampung ni, agenda utama ialah pergi ke rumah mak di Sg Besar dan mak tiri di Parit Bharu. 2-2 punya ikatan kuat buat akak. Sekurang-kurangnya 2 kali datang jengok dorang.. Tu yang tak sempat nak melagho dengan aktiviti lain. Kenapa tak balik terus rumah mak? Sebab sedari baby akak memang duduk rumah nenek yang sekarang rumah makcik bongsu. Hanya yang berpengalaman macam akak tau jawapannya... eh! macam ayat ulangan pulak... hehehe!

Balik semalam, dapatlah gunting rambut Fawwaz yg dah macam pesen k-pop tu. Ada 5 orang standby untuk membuat apa yang patut kalau dia buat hal macam selalu. Umi dah pegang selimut besar untuk wrap. Punyalah teruk, hahaha! Tapi kali ni moodnya sangat baik. Mungkin sebab dia seronok sangat balik kampung.

Mula2 demo kat rambut mbah babah dulu (pakcik akak). Pastu mbah babah pangku dia dan usap2 sambil pujuk dan acah2 potong. Tak lama, dia pun mau (guna hair trimmer). Masing-masing tarik nafas.. Tak bersuara. Pelan-pelan buat, supaya dia tak hilang mood. Walau hujung2 dia dah mula menggelisah, dapat juga siapkan. Tak 100% cantik, tapi dah kira cemerlang dalam 95% gitu. Adohai anak.. memang mbah je yang mampu potong rambut mu itu. Kalau tak balik kampung, memang boleh ternak lebah madu kot... :P

Muka memang berubah kalau berambut panjang dan dah trim...

Ikutkan semalam Fawwaz tak mau balik ke sini. Dia lebih sanggup ditinggal. Hilang moodnya kejap bila sampai depan pagar. Nanti lah ye, kalau umi ada rezeki buat umrah, umi tinggal ngan mbah. Melainkan Fawwaz nak bersunat, boleh le ikut sekali.. hehe!


Saturday, October 12, 2013

Lanskap Akak... baru nak belajar

Akak mengumpul dan menjimatkan tenaga untuk aktiviti baking & deko kek rainbow esok... Sambil mencari2 ilham utk pelbagai perkara..

Alangkah seronoknya kalau dapat jalan-jalan cuci mata kat kedai langsir ke, kedai jual aksesori rumah ke.. Banyak nak dibeli sebenarnya. Tapi pergerakan terbatas sikit. Saya dah terbiasa mencari barang tanpa membawa Fawwaz, melainkan kalau abi dia ada. Walau dia dah OK sangat2 sekarang ni, saya masih phobia agaknya... :)

Takpelah... ada peluang nanti kenalah buat juga. Penyakit akak ni suka bertangguh. Entah bila nak insapnyee... huhuhu!

Status terkini....

Drive way ni guna coloured cement je.. color merah.
Pemandangan depan tu ialah kebun getah dan sebelahnya pula ialah dusun durian.. :D

Pintu masuk... custom made. Abe yang design dgn meniru pintu orang.. hihi!
Boleh intai akak kat dalam ikut glasses tu.. :D

Inilah aktiviti baru akak... menanam rumput di celah2 slabs. Belum habis kerja..
Tempat ni adalah ruang menyidai pakaian..

Bersebelahan slabs tu... Masih dalam kawasan menyidai.
Rumput cow grass abe tanam sendiri.. dah banyak tumbuh

Friday, October 11, 2013

Monster Onion!

Fawwaz baru je tidur.. akhirnya! Lama juga dia agak menggelisah walau mata tu dah kecik je.. Katanya sakit perut. Memang bila umi tepuk, ada sedikit kembung. Tadi malam dia tak makan. Puas dipelawa, dia tetap tak mau. Melainkan minum susu dan air. Entah berapa kotak susu dia minum la hari ni...

Maintenance makin tinggi budak ni. Minumnya Dutch Lady Strawberry dan full milk tu. Lain-lain ialah air soya atau jus mangga. Tadi baru order air susu kambing sedap dari Attitude Therapy. Kena pos dulu.. Lain2 susu kambing macam tak best je. Lebih kepada orang dewasa. Yang budak punya belum jumpa di pasaraya. Bukan takde rasanya, tapi akak tak jumpa directory mana nak cari kat sini.

Petang tadi sedikit berdebar bila dia pandang kat tangga dan cakap "there's a monster.. BIG ONION MONSTER upstairs..".

Mak pun pandang dia lama2. Pastu buat sergahan sikit... "HEHH!!"  Hahaha... itu macam la. Sebenarnya, hari2 dia duk sebut itu monster. Dulu pun macam tu. Tapi lama juga dah tak sebut. Ni buat perangai balik.. Ni terbayang rupa bawang kat dapur tu.. Kalau baca kisah anak2 syurga ni kat page AM, memang macam2 dorang ni. Tapi rupanya kisah masing2 hampir sama .. Termasuk Fawwaz ni.

TERAPI

Semalam saya ada mulakan terapi untuk fokus matanya. Saya belajar dari seorang ahli AM (Autisme Malaysia). Caranya, padam lampu bilik dan guna lampu suluh yang disuluh ke mata kiri dan kanan dalam gelap tu. Jadi, matanya akan ikut cahaya suluhan tu ke kiri dan kanan juga. Tapi semalam tak berjaya. Dia terperanjat dan menjerit "it's dark.. I can't see..". Terus acara berebut torch light.. hehehh!

Malam ni Fawwaz request pulak untuk terapi tu. Dia yang suruh tutup lampu. Betullah kata seorang yg komen, kena bagitahu dia dulu. So that, mentally dia bersedia. Alhamdulillah, Fawwaz ni banyak perkembangan positif sejak mengharungi pelbagai terapi. Bermula sesi kat AT dulu, pemakanannya lebih terbuka. Botol susu dah tak perlu. Sekarang pula emosinya lebih stabil walau kadang-kadang ada benda yang buat dia memberontak.

Dan sejak tahu masalah dia, mak pun sama2 stabil. Tak mudah naik angin dengan kerenah dia. Lately, kami hidup penuh ceria. Penuh gurau senda. Mudah-mudahan akan kekal begini.. :))

Bila tengok gambar ni, teringat komen makciknya... yang tunjuk gambar yuzuhiko anak si atasinchi.
Memang sama... rambutnya. Hihihi


Wednesday, October 9, 2013

Pendaftaran OKU di JKM

Hari ni aktiviti siap sekerat je.. Tapi yang penting dapat buat sedikit untuk Fawwaz. Untuk mak pulak, sempat pergi ke dua buah kedai bakeri di Jitra dan Alor Star.

Setelah gagal mencari semalam, hari ni saya teruskan misi mencari pejabat JKM di Jitra ni. Rupanya semalam dua kali saya lalu di situ, pergi dan balik. Saya duk meninjau di sebelah kiri, padahal pejabat di sebelah kanan. Gitulah.

Setelah mengemukakan pertanyaan, maka pegawai-pegawai tu (ada 2 orang) memberi penerangan dengan jelas. Memang ada peruntukan OKU untuk kanak-kanak autisme. Bentuk kemudahan itu akan disenaraikan selepas pendaftaran siap. Tadi saya diberikan satu borang yang perlu diserahkan semula dalam 3 salinan. Borang perlu disahkan doktor perubatan dan disertakan gambar serta salinan CD gambar.

Saya kira adalah hak Fawwaz untuk didaftarkan. Mungkin tidak enak dan agak sedih melihat anak yang cerdik dan comel ni dikategorikan OKU. Tetapi keahlian itu adalah untuk masa depannya. Supaya dia mendapat apa yang sepatutnya dari segi pendidikan dan lain-lain, dalam situasi kesedaran pihak kerajaan yang semakin meningkat terhadap anak-anak autisme. Inilah juga yang saya sembangkan bersama Cikgu Mazlan tadi.

Membaca status dan komen ibu-ibu di group AM tadi, baru saya tersedar yang saya tak pernah mengajar Fawwaz cara menggunting kertas.. Sebab ia akan menjadi salah satu aktiviti semasa sesi temuduga nanti. Saya juga terbiasa menjirus dan membersihkan Fawwaz selepas dia buang air. Katanya, toilet training adalah juga diambil kira dalam pemilihan pelajar nanti. Malah memakaikan seluar kasual yang berzip dan berbutang pun saya buatkan. Kalau seluar bergetah tu memang dia pakai sendiri. Selepas ni, saya kenalah suruh dia buat sendiri. Barulah up sikit kebolehan Fawwaz... hehe!

Cuma walau Fawwaz kekurangan dalam soal pengurusan diri di dalam toilet, setakat ni dia belum pernah terkecing atau berak di sekolah. Sejak umur 5 tahun, segalanya terkawal lagi. Sebenarnya faktor tempat pun mungkin memainkan peranan. Melainkan terpaksa, dia tak akan membuang air selain di rumah atau di tempat yang difikirkannya bersih atau selesa. Kalau pun bersih, kadang-kadang dia tak mau atas alasan yang mak ni pun tak pasti... huhuhu!


Monday, October 7, 2013

Anak Syurgaku - Mencari Sekolah Baru



Pagi ni mak melawat ke sebuah sekolah yang ada menyediakan program pendidikan khas. Di Jitra ni, katanya cuma ada 2 sekolah yang menyediakan program tu. Yang tadi saya pergi ialah SK Sultan Ahmad Tajuddin. Ada lagi satu tak silap namanya Paya Kemunting.

Pihak pejabat kata saya kena pergi ke PPD dulu. Kemudian baru pihak PPD akan membuat penempatan. Saya terkebil2 depan kakak tu memikirkan di mana pejabat PPD Jitra ni. Ohhh... rupanya senang je tempat tu. Berdepan dengan kedai bakeri yang saban minggu saya lawati. Hehe!

Saya pun ke PPD. Jumpa pegawai yang saya lupa nak tanya nama apalagi menjeling name tag nya. I kan pemalu.... hihihi! Mujur dah siap2 fotostat borang pengesahan tu. Sebab yang salinan sepatutnya untuk PPD dah terbagi kat cikgu haritu. Terus submit borang tu kat PPD sambil menyatakan kalau boleh nak sekolah SKSAT yang lebih dekat dari tempat kami. SKSAT tu sama dengan singkatan nama sekolah kebangsaan waktu mak kecik2 dulu - SK Sg Air Tawar. Tapi sekarang dah tukar ke nama Sri Mawar.

Setakat ni proses akan jadi seperti ni. Dah mak pun dah brief cikgu Mazlan untuk pengetahuan am..:D

1. Pengesahan masalah kanak2 oleh psikiatris. Sepatutnya ada 4 salinan.
2. Serahkan 1 salinan kepada Pentadbiran Pelajaran Daerah (PPD) untuk penempatan. PPD akan tentukan sekolah yang bersesuaian
3. PPD akan panggil untuk sesi temuduga ibubapa dan murid.

Selepas itu belum pasti. Mungkin pengesahan PPD dan arahan ke sekolah mana.

Esok, saya nak ke Jabatan Kebajikan Masyarakat pula. Nak bertanyakan apa sepatutnya dibuat. Sangat perlukah pendaftaran OKU tu. Bila memandang Fawwaz dari tempat mak duduk ni, rasa sedih pun ada. Budaknya macam normal, macam charming, speaking American... rupanya eligible untuk OKU. Namun kasih sayang mak ni bertambah2. Sekarang ni sikit2 memang kena peluk dia. Dia pulak pantang kena itu ini, beria kata sakit. Dah kerjanya terkinja-kinja je... hehehe!

Satu lagi yang buat saya semangat bila menyertai group Autisme Malaysia (AM). Para ibubapa di situ amat seronok dan bangga bercerita tentang anak2 syurga ni. Baru tau, banyak benda dorang ni sama dari segi tingkah laku. Banyak benda dikongsi. Alhamdulillah... Fawwaz dan umi tidak keseorangan.


Sunday, October 6, 2013

Abi's Going Azan...

Akak sedang menikmati nescafe panas dan muffin orange blueberry nih! Ahh... nikmat sungguh. Dalam kesejukan malam selepas hujan petang tadi...

Dah lama tak tengok berita perdana pukul 8 malam. Selain astro asyik meragam, Fawwaz pun tak bagi peluang. Mak ni sebenarnya malas nak duduk depan lappy sejak mata mula kabur2 ayam... eheh! Tapi terpaksa mengisi ruang supaya Fawwaz tak duduk berlama di sini. Risaukan matanya tu.. Katanya sakit, tahi mata pun selalu keluar, tapi tak bagi diusik apalagi dipegang. Agaknya sebab memandang benda lappy ni lah... Kadang mak ni tegur jangan main komputer nanti mata sakit... dijawabnya "slowly...". Salah penggunaan perkataan lah tu. Agaknya dia nak kata "sikit je..." atau "kejap je...". Macam-macam mat saleh sorang dalam rumah ni. Udahlah slang pun american... hihihi.

Tadi tengahari kami ke airport. Hantar abe. Akhirnya masa yang dinanti tiba. Sebenarnya suspen juga dalam hati nak hantar abi tu.. Akak kena jadi robot yang ikut je arahan tuannya dan kosongkan perasaan. No heart feeling. Demi Fawwaz pergilah juga. Kalau di airport tu mudah sikit nak bagi dia faham sebab dulu Fawwaz dan airport tu umpama lagu dan irama... Sayangnya, bila dia dah mula faham dan enjoy naik kapalterbang, kami dah tak travel sana sini lagi.

Jadinya tadi, dia pun boleh faham yang abi nak pergi jauh by aeroplane. Going azan... going mosque.. katanya... Kan kalau azan ada gambar Kaabah.. Even kalau umi buka TV Al Hijrah pun dia kata azan.. hehe! Sebelum ni memang hari2 uminya bagi tunjuk gambar kaabah dan masjidil haram dan kata abi nak pergi situ. Supaya dia dapat store dalam memory dia. Kurang sikit umi nak menjawab kalau dia berkira2 yang abi nak datang/balik rumah ni.

Yang pergi biarlah pergi.. melakukan ibadah dengan tenang. Yang ditinggalkan ni, moga2 sihat walafiat dan sentiasa dalam lindungan Allah. Tawakkal. Yang ditinggalkan ni kadang macam lagu ziana zain. Nampak tenang di permukaan, dan di dalamnya bergelora.. persoalan demi persoalan, menghantui akal dan fikiran... tidak kutemu jawaban.. hahaha! Tak sampai nafas dek kalau nak nyanyi betul2..!

OKlah... En Fawwaz pun dah tidur atas sofa selepas umi pasang mp3 surah Yaasin. Dah 2 malam mak ni kena angkat naik.. huhuhu!


Saturday, October 5, 2013

Anak Syurgaku - Pengalaman Baru Buat Semua

Hari ni Sabtu, Fawwaz kena pergi ke sekolah. Sekolah Ganti. Nanti raya haji, dapatlah cuti lebih sikit. Boleh balik kampung dan menggembirakan sikit para embah (nenek dan datuk) di kampung tu. Sejak kami duduk di Kedah, volume balik kampung tu amat kurang dan amat dirasakan oleh semua. Dulu paling2, setiap 3 minggu atau sebulan sekali. Masa tinggal di Singapore dan Bahrain lagi best, berminggu2 kalau balik kampung.



Hari Khamis lepas, sempat bersembang kejap dengan Cikgu Mazlan pasal borang. Hari tu ada serahkan semula borang pengesahan doktor kepada sekolah dan masing-masing sebenarnya tak tau langkah seterusnya. Cikgu kata, seorang guru (tak ingat jawatannya) akan cuba mencari maklumat. Hikmah di sebalik kejadian..

Kelas pra di SKDH ni baru pertama kali diwujudkan di situ. Fawwaz adalah antara pioneer students. Bermula je program ni, ada pulak murid macam Fawwaz... hehe! Sebelum ni pun mungkin di keseluruhan sekolah belum ada kes seperti Fawwaz. Murid autis. Jadinya, Fawwaz mencipta 'case study' untuk semua pihak. Keluarga sendiri dan guru2 di sekolah (mungkin termasuk pentadbiran). Harapan saya, selepas ini akan lebih mudah bagi pihak sekolah untuk mengesan lebih awal 'abnormality' seseorang murid. Juga tahu apa langkah sewajarnya.

Sekolah sedang di dalam pelan untuk mewujudkan kelas khas. Tak pasti bila. Tapi kalau tahun depan pun, saya kira akan tetap mencari sekolah lain yang lebih 'established' kelas khasnya. Sebab tak mahu menjadikan Fawwaz sebagai bahan ujikaji lagi. Terlalu banyak di dalam kepala ni nak buat untuk Fawwaz dalam masa terdekat. InsyaAllah, bila abe dah selamat berangkat ke Tanah Suci nanti, saya akan tumpukan fokus sepenuh kepada usaha penyembuhan atau yang hampir semakna.

Apa yang perlu dibuat?
- Cari bahan mengajar
- Rangsangan yang lebih sistematik
- Kurangkan game dan penggunaan komputer
- Mendaftar kepada persatuan
- Mencari kelas dan sekolah yang bersesuaian
- Perbaiki pemakanan
- Tingkatkan kasih sayang
- Yang paling penting, tingkatkan penghambaan kepada Allah SWT... tambahkan zikir dan solat

Inilah juga yang bakal menjadi azam di tahun baru.

Hidup perlu sentiasa POSITIF.


Thursday, October 3, 2013

Cerita Dapur Baru... Yuhuu

Tak puas berangan...


Semalam akhirnya terlerai sudah dilema dapur 3 serangkai iaitu hood, hob dan oven. Setelah berbulan menyiasat dan berangan. Dari kedai ke kedai, website ke website, katalog ke katalog... Tapi yang sebenarnya akak dah terpengaruh dengan iklan di Anjung Seri. Itupun majalah lama. Jenama Rubine. Ala2 jenama Itali gitu.. hahaha! Akak suka design dia. Yang penting oben tu haa.. Hari tu akak dan abe dah tergelak kat satu kedai sebab akak sebut "rubain". Lepas tu salesgirl tu betulkan sebutan "rubini". Alaa... macam "lu bini...wa!".. ahaks! merapu sudah...

Lepas tu teringat masa kiterang baru2 duduk di Singapore. Tempat kami Pasir Ris tu berdekatan dengan Tampines. Kami sebut "tampains". Alaa... kan macam tampin N9 kennn. Rupanya sebutan dia "tempenis". Kikiki..

Berbalik kisah dapur, 2 hari sebelum membeli tu akak sungguh dilema. Akak cari jenama ikut bajet je. Masa mula2 survey terutama kat homedec, memang terpikat kat Rubine. Tapi hujung2 cerita susah pula nak cari kedai yang jualnya. Akak rasa nak Fotile, tapi out of budget lak. Lepas tu banyak kedai pula yang cadangkan Leben. Dah terpengaruh. Tapi oven ngan hood tak berapa nak stylo. Nampak Cornell. Cantik dan canggih juga. Tapi salesman tak cukup meyakinkan. Elba, terbaca forum kata cepat rosak. Lepas tu balik ke Leben sebab terbaca satu chef kata oven dia elok. Maklum, teknologi Jerman. 

Tapi, terakhir pergi ke satu kedai di Kg Kelubi tu, yang semua produk ada, salesgirl tu buat akak tukar mood. Bila satu2 benda dia rasa tak mau jual, terus dia buruk2 kan produk tu. Contoh, alih2 cakap orang komplen la, made in china la, itu barang lama laa.. So, abe kata takpe. Balik fikir dulu walau masa tak banyak. 

Nak jadi rejeki, esoknya abe pergi satu kedai lain sebab nak cari toilet bowls dan sink. Ini kes last minute la jugak sebab kontraktor dah nak pasang.. ngeee. Kedai tu jual Rubine. Price cantik, rupa pun cantik. Terus dia ajak akak datang tengok. Terus akak setuju. Esoknya terus abe bayar... Yayyyyy!!! Terima kasihlah wahai suami ku! Sebab dapur tulah sumber inspirasi isterimu nanti. Nak tau elok ke tidak, nyesal ke tidak, pakai je lah dulu ye..

Apa2 pun dapur tu belumlah terpasang lagi. Masih simpan di kedai. Sebab kabinet adalah antara perkara terakhir utk pasang supaya tak rosak, tak hilang dsb. Mungkin masa abe dah kat Mekah nanti, baru orang tu datang pasang. Set dapur pulak selepas tu, bila abe dah balik.

Nak beli hood perkara utama akak tengok selain design ialah suction power. Kena lebih 1000m3/hr. Takle nanti rumah comel akak bau ikan goreng.. :P
Untuk dapur pula akak tengok api besar mana.. Satu lagi yang penting ialah safety device.

Ohhh... tak sabar nak baking kat oben baru. Harap2 yang ni lebih baik atau setanding dengan oben Zanussi akak sekarang ni.

Lepas ni nak fikir peti sejuk pula... Targetnya ialah jenama Mitsubishi. Sebab dia je yang jual peti sejuk color putih. Hahaha... bukan nak cari yang jimat elektrik ka, teknologi inverter ka, anti bakteria ka... tumpuan utama ialah warna. Sebab nak sesuaikan dengan kabinet dapur berwarna lime green dan dinding tile dapur yang putih tu.

Edited : 
Gambar sesudah kejadian... gambar kejadian terkini tak payah... hahaha. Dah jadi tongkang tak berapa nk karam.. :P

Updated 2/8/2016:
1. Dapur tu sebenarnya pakai bateri saiz macam torchlight besar pakai tu. Tu sebab setahun lebih pakai, pengetik tu tak berfungsi dan terpaksa pakai tembak gas kalau nak nyalakan. Rupanya, ilmu tak sampai sebab yang pasang dulu kontraktor lain. Bila dah jumpa semula dengan toke kedai, barulah dia cakap.. ayoooo. Sekarang dah tukar, back to normal..
2. Api yang merah tu pulak sebenarnya boleh di 'adjust' dari bawah dapur. Bila technician datang, baru dia cakap dan adjustkan. Sekarang cantik membiru semula..
3. Oven pula pakai PC.. Beberapa bulan lepas rosak benda tu. Terpaksa tukar baru benda PC tu yang berharga RM371 tak termasuk service charge dan mileage..

Macam tu lah ceritanya... hurmmm.

Wednesday, October 2, 2013

Anak Syurgaku - Langkah Permulaan

Alhamdulillah.. Hidup ini semakin indah dengan kurniaNya..

Kejap lagi nak hantar Fawwaz ke sesi OT Occupational Therapy) di Hospital Jitra. Sesi yang mak kira dia dah faham dan sangat enjoy! Semalam akhirnya saya mendapat pengesahan yang ditunggu-tunggu dari seorang doktor. Bukan pasal apa, saya cuma tak mahu masa habis terlalu banyak sebelum mengambil keputusan nak hantar Fawwaz ke sekolah yang lebih sesuai. Sebelum ni dah hampir 3 tahun saya biarkan masa itu berlalu dengan harapan yang terpendam di dalam hati.

Doktor psikiatri mengesahkan yang Fawwaz autis. Jadi, selepas ni mak kena lebih aktif mendapatkan pendidikan yang bersesuaian disamping usaha untuk menyembuhkannya. Doktor kata mild, mungkin juga moderate. Kalau Dr Aishah (AT) dulu kata boleh sembuh, saya akan pegang yang itu di dalam hati dengan doa kepada yang Maha Kuasa.

Jalan cerita anak-anak yang macam ni lebih kurang sama sebenarnya. Macam Fawwaz, bermula dengan speech delay. Saya kesan semenjak umurnya 3 tahun yang mana dia masih sukar membentuk perkataan berbanding kanak-kanak seusia yang lain. Dulu saya selalu ditegur kerana buat perbandingan. Tapi kita sebagai ibubapa kena tau yang anak-anak kita ni ada milestone juga.  Kalau ada perbezaan yang ketara, kita kena melakukan sesuatu.

Selepas ini, Fawwaz disarankan oleh doktor untuk mengikuti kelas khas. Maknanya memang dia tak sesuai untuk meneruskan persekolahan di tempat sekarang sebab belum ada kelas khas di situ. Cuma sebagai penjaga, kita kena terbuka hati kerana di kelas khas ni bercampur untuk semua peringkat. Saya pun belum pergi melihat, hanya setakat mendengar cerita. InsyaAllah, dalam seminggu ni nak melawat ke salah satu sekolah yang ada kelas khas ni.

Selepas itu, saya bercadang nak mendaftar ke Kebajikan Masyarakat, Nasom atau Akademi Autisme Kedah. MasyaAllah! Inilah hikmah saya dibawa suami tinggal di Kedah. Memang banyak kemudahan untuk anak-anak seperti Fawwaz dan tidak perlu saya melalui kesesakan jalanraya langsung untuk ke satu-satu tempat dan hospital. Kalau di KL dulu, faktor kesesakan jalan dan kesukaran parking selalu membuat saya lemah semangat. Kalau di HSB memang agak sesak, tapi tak pernah tak dapat parking. Manakala di Hospital Jitra, parkingnya sentiasa ada kekosongan dan suasananya damai.

Saya akan sambung lagi nanti.... Nak baking kek kejap. Ada cikgu2 dari Perak order, nak bawa balik rumah selepas berkursus.  Hehe... seronok juga hidup macam ni :D